KUALA LUMPUR: Jaringan sepakan percuma yang membantu Malaysia membelasah Laos 4-0 dalam aksi Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi disifatkan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal sebagai detik yang cukup istimewa.
Pemain tengah Harimau Malaya yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berkata, pengorbanannya menempuh perjalanan lebih 30 jam berbaloi, apabila berjaya merealisasikan impiannya menjaringkan gol sulung buat skuad kebangsaan.
“Ia agak menarik untuk menjaringkan gol untuk negara anda pada penampilan kedua negara, ia umpama mimpi yang tercapai. Jika saya sedang tidur, jangan kejutkan saya sekarang.
“Saya fikir penjaga gol Laos tentunya berfikir saya akan buat hantaran lintang, jadi kenapa tidak? Itu saat yang menjadikan istimewa dan saya gembira kerana ia masuk gol,” katanya ditemui selepas tamat perlawanan semalam.
Pemain Sporting JAX itu, turut berharap dapat terus diberikan peluang beraksi pada perlawanan seterusnya bagi membuktikan kemampuannya menyumbang kepada pasukan.
“Kami akan bermain dengan baik...Thailand dan Malaysia mempuyai sejarah yang panjang, jadi saya gembira untuk memainkan peranan saya nanti. Ia akan menjadi satu perlawanan yang hebat.
“Itu yang saya mahukan dan sebab itu saya terbang lebih 30 jam dan saya tahu ia tidak akan terus terjadi sebab “jet lag”, kekurangan tidur, rakan-rakan sepasukan baharu dan semua itu, jadi jika saya dapat lima ke 15 minit atau 90 minit bermain, saya gembira untuk melaksanakan peranan saya dan meneruskan perjalanan saya dengan bola sepak Malaysia,” katanya.
Malaysia kini menerajui Kumpulan B dengan enam mata, diikuti Thailand dan Myanmar yang masing-masing mengumpul tiga mata manakala Filipina dan Laos masih belum meraih sebarang mata.
Harimau Malaya membuka kempen Kumpulan B Piala ASEAN 2026 dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Myanmar di Stadium Thuwunna, Yangon pada Sabtu lepas akan berkunjung ke Stadium Rajamangala, Bangkok untuk berdepan juara tujuh kali Thailand, Sabtu ini.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir.
-- BERNAMA