Skip to main content

Sukan

Bonnie sudah berikan aksi terbaik - Jurulatih

GLASGOW, 24 Julai -- Jurulatih Kebangsaan Para Powerlifting, Mohamad Shahibullah Ambi ketika bertemu pengamal media di temasya Sukan Komanwel Glasgow di SEC Armadillo hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAKCIPTA TERPELIHARA
Mohamad Shahibullah ketika bertemu pengamal media di temasya Sukan Komanwel Glasgow di SEC Armadillo, Glasgow, 24 Julai 2026. -- fotoBERNAMA

GLASGOW: Jaguh para powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin sudah memberikan yang terbaik dalam usahanya mempertahankan pingat emas kategori lightweight lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di sini, kata jurulatihnya Mohamad Shahibullah Ambi.

Mohamad Shahibullah berkata anak buahnya itu tetap mempamerkan semangat juang tinggi meskipun sedang berusaha mencapai tahap prestasi terbaik selepas pulih daripada kecederaan pada bahagian kiri dada.

“Kita terima keputusan hari ini. Pada angkatan ketiga, kita cuba melakukan yang terbaik dengan mencabar angkatan 230 kilogram (kg) bagi mendapatkan tempat pertama, tetapi bukan rezeki.

“Bonnie juga baru pulih daripada kecederaan. Setakat ini, Alhamdulillah, dia sudah memberikan yang terbaik. Semangatnya masih tinggi dan dia juga sudah mencuba sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo semalam.

Menurut beliau, Bonnie mengalami sedikit koyakan pada bahagian tepi dada sekitar awal tahun ini dan telah menjalani proses pemulihan di Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau berkata keadaan pemenang emas edisi Birmingham 2022 itu semakin baik, namun program latihan masih dilaksanakan dengan berhati-hati berdasarkan tahap keselesaannya serta nasihat doktor.

Bagaimanapun, proses menurunkan berat badan sepanjang minggu pertandingan bagi memenuhi had kategori lightweight, iaitu bawah 72kg dipercayai turut menjejaskan tahap tenaga pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik itu.

“Dalam tempoh seminggu ini dia menurunkan berat badan dan mungkin itu antara sebab tenaganya berkurangan, tapi kita terima keputusan ini dan akan berusaha buat penambahbaikan,” kata Mohamad Shahibullah.

Pada saingan semalam, Bonnie yang juga juara dunia empat kali, berjaya mencatat angkatan terbaik 220kg untuk mengumpul 153.5 mata sekali gus meraih pingat gangsa.

Terdahulu, atlet kelahiran Sarawak berusia 27 tahun itu gagal dalam percubaan terakhirnya pada bebanan 230kg.

Emas milik atlet England, Mark Swan yang melakukan angkatan 222kg untuk mengumpul 153.9 mata, manakala wakil Nigeria, Roland Ezuruike meraih perak selepas mencatat angkatan 185kg dengan mengumpul 153.9 mata.

– BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement