Skip to main content

Malaysia

Skrin gergasi di Dataran Merdeka siar perlawanan akhir Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 19 Feb -- Orang ramai mengambil kesempatan berbuka puasa pada hari pertama Ramadan bersama ahli keluarga dan rakan-rakan di kawasan padang Dataran Merdeka pada tinjauan hari ini. Seawal petang, pengunjung menghamparkan tikar dan menyusun juadah dalam suasana penuh kemesraan.  Kawasan sekitar Dataran Merdeka kekal menjadi antara tumpuan warga kota untuk berbuka puasa setiap tahun dengan latar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad yang menjadi mercu tanda ibu negara.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CI
FADIL: Kita harap dapat menarik kehadiran sehingga 300,000 orang. Kita harap orang ramai dapat memenuhi Dataran Merdeka sekali gus membolehkan program berkenaan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records. - Gambar hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menerusi skrin gergasi di Dataran Merdeka pada awal pagi Isnin ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata tayangan itu antara pengisian utama program Unity Merdeka yang berlangsung sejak semalam hingga Ahad ini, anjuran pihaknya dengan kerjasama 16 kementerian.

Beliau berkata program itu bertujuan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, dengan pelbagai aktiviti bermula 8 malam esok sebelum kemuncak tayangan perlawanan akhir tersebut.

"Kita akan menyediakan skrin yang besar di Dataran Merdeka, dan kita berharap dapat menarik kehadiran sehingga 300,000 orang untuk hadir menyaksikan perlawanan itu.

"Kita berharap orang ramai dapat memenuhi Dataran Merdeka sekali gus membolehkan program berkenaan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records,” katanya kepada pemberita selepas program Fun Run Unity Merdeka di Dataran Merdeka hari ini.

Terdahulu, program larian sejauh lima kilometer itu, yang bertujuan mengeratkan hubungan antara pasukan polis dan komuniti di ibu negara, disertai kira-kira 2,000 orang.

Acara itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur DCP Datuk Mohd Azani Omar dan 16 ahli Persatuan Wartawan Jenayah.

Bertemakan “Kepelbagaian Disatukan, Kesejahteraan Dikekalkan”, Unity Merdeka menghimpunkan pelbagai elemen merangkumi kebajikan, seni budaya, pendidikan, keagamaan, kekeluargaan dan hiburan yang terbuka kepada semua lapisan umur.

Antara tarikan lain ialah pameran dan reruai interaktif daripada pelbagai agensi keselamatan serta kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Kesihatan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement