IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) mengesahkan bekas ketua pasukan Mohamad Nasir Basharudin kembali menyarung jersi skuad The Bos Gaurus bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027.
Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pengalaman luas dimiliki bekas pemain kebangsaan itu diyakini mampu memberikan nilai tambah kepada pasukan, khususnya dalam membimbing pemain muda.
"Kepulangan Nasir adalah suntikan penting buat pasukan kerana beliau bukan sahaja memiliki kualiti di atas padang, malah pengalaman serta kepimpinan yang mampu membantu membentuk budaya profesional, disiplin dan mentaliti kemenangan dalam pasukan.
"PAFA percaya kehadiran Nasir bukan sahaja akan memperkukuh jentera tengah pasukan, malah menjadi pemimpin di dalam dan luar padang yang mampu menyatukan skuad serta mengangkat semula nama Perak di persada bola sepak tempatan," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi PAFA malam tadi.
Mohamad Nasir atau lebih dikenali sebagai "Acer" merupakan antara tonggak yang membantu Perak menjulang Piala Malaysia pada 2018, sekali gus menamatkan penantian 18 tahun pasukan itu untuk merangkul trofi berprestij berkenaan.
Pemain kelahiran Taiping berusia 36 tahun itu turut pernah menyarung jersi Terengganu FC (2020-2021), PJ City FC (2022), Harini FT (2023) dan Melaka FC (2024-2026).
-- BERNAMA