ATLANTA: Lionel Messi mendedikasikan kemenangan Argentina ke atas England pada separuh akhir Piala Dunia FIFA pada Rabu kepada penyokong pasukan itu, lapor Xinhua.
Messi berkata sejarah persaingan sengit antara Argentina dan England memberikan motivasi tambahan kepada juara bertahan itu.
"Walaupun ia hanya satu perlawanan, kami melalui detik-detik yang cukup istimewa.
"Penyokong lebih menginginkan kemenangan ini berbanding kemenangan lain kerana pertemuan dengan England pada separuh akhir mempunyai makna yang cukup besar, selain kemenangan ini membawa kami sekali lagi ke final Piala Dunia," katanya selepas perlawanan.
Anthony Gordon meletakkan England di hadapan sebelum Enzo Fernandez menyamakan kedudukan pada minit ke-85, manakala Lautaro Martinez menjaringkan gol kemenangan tujuh minit kemudian untuk membawa Argentina ke pentas final menentang Sepanyol pada Ahad.
Messi, yang melakukan kedua-dua bantuan gol Argentina, berkata semangat berpasukan menjadi kunci kebangkitan mereka.
"Pasukan ini tidak pernah berhenti berjuang.
"Kami turun bermain bola sepak dengan penuh keazaman. Kami mengasak mereka di kawasan sendiri dan membuktikan kami mampu memenangi perlawanan dalam masa permainan sebenar tanpa perlu mengharungi masa tambahan.
"Tiada seorang pun rakyat Argentina mahu tewas dalam perlawanan ini. Perjalanan sepanjang Piala Dunia ini sungguh luar biasa, lebih-lebih lagi mengambil kira betapa pentingnya perlawanan separuh akhir menentang England. Tiada siapa mahu kalah hari ini, tanpa memikirkan perkara lain tetapi begitulah keadaannya," katanya.
Martinez, yang menjaringkan gol 11 minit selepas menggantikan Nicolas Tagliafico, gagal menahan sebak selepas tamat perlawanan.
"Sangat sukar untuk saya bercakap sekarang, tetapi saya akan cuba untuk tidak menangis kerana saya sudah terlalu banyak menangis di dalam bilik persalinan.
"Sungguh luar biasa apa yang telah kami capai. Kami terus melangkah ke hadapan dan itulah kepuasan terbesar yang boleh kami rasai," katanya.
Martinez berkata sokongan penyokong Argentina, yang mengatasi jumlah penyokong England dan lebih lantang memberikan sorakan, menjadi pemangkin penting kepada pasukan itu.
"Dengan sorakan penyokong, segala-galanya menjadi lebih mudah.
"Kami berjaya menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan dan selepas itu, yang tinggal hanyalah kegembiraan," katanya.
Penyerang Inter Milan itu menjangkakan Sepanyol akan menjadi lawan yang lebih mencabar.
"Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti. Jadi sekarang kami perlu berehat dan memulihkan tenaga sebanyak mungkin supaya dapat membuat persiapan terbaik menjelang final," katanya.
-- BERNAMA