Skip to main content

Dunia

Sepanyol rampas semula takhta nombor 1 ranking dunia FIFA

spain
Pemain Sepanyol bergambar kenangan bersama trofi Piala Dunia 2026 sebaik tiba ketibaan mereka di Madrid. - Gambar Reuters

MADRID: Juara Piala Dunia 2026, Sepanyol, kembali menduduki tangga teratas ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) lelaki selepas kemas kini terbaharu yang diumumkan pada Isnin, manakala Argentina yang muncul naib juara turun ke kedudukan kedua.

Skuad kendalian Luis de la Fuente merampas semula status nombor satu dunia selepas menewaskan juara dunia 2022, Argentina, 1-0 menerusi masa tambahan pada final Piala Dunia, Ahad lalu.

Kejayaan itu menyaksikan La Roja kembali mengungguli ranking FIFA buat kali pertama sejak Januari.

Perancis dan England masing-masing mengekalkan kedudukan ketiga dan keempat dunia, meskipun skuad bimbingan Thomas Tuchel berjaya menewaskan Perancis untuk meraih tempat ketiga Piala Dunia.

Brazil pula naik ke tangga kelima, manakala Maghribi mencipta sejarah apabila melonjak ke kedudukan keenam dunia, pencapaian tertinggi negara Afrika itu dalam ranking FIFA.

Portugal jatuh dua anak tangga ke kedudukan ketujuh selepas tersingkir di pusingan 16 terbaik Piala Dunia. 

Belgium pula naik ke tangga kelapan, bertukar kedudukan dengan Belanda yang kini berada di tempat kesembilan.

Mexico mencatat peningkatan memberangsangkan apabila melonjak empat anak tangga untuk menembusi kelompok 10 terbaik dunia.

Norway muncul pasukan yang mencatat peningkatan terbesar dalam kelompok teratas apabila melonjak 12 anak tangga ke kedudukan ke-19 selepas mara hingga ke suku akhir Piala Dunia.

Jerman pula terkeluar daripada kelompok 10 terbaik dan kini berada di kedudukan ke-12, satu tangga di hadapan Croatia.

Itali yang gagal melayakkan diri ke Piala Dunia terus merosot ke tangga ke-15.

Di benua Afrika, Tunisia mencatat kejatuhan paling ketara apabila merosot 12 anak tangga ke kedudukan ke-57 dunia.

Sebaliknya, Mesir meningkat lima anak tangga ke kedudukan ke-24, manakala Paraguay naik tujuh tangga ke tempat ke-34 selepas mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia.

Cape Verde turut memperbaiki kedudukan apabila naik tiga anak tangga ke tangga ke-64 dunia selepas mara ke pusingan 32 terbaik.

Ghana pula mencatat peningkatan lapan anak tangga dan kini berada satu kedudukan di belakang Cape Verde dalam ranking terbaharu FIFA. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement