KANSAS CITY: Pertahanan England, Jarell Quansah digantung dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah dalam kemenangan pasukannya ke atas Mexico pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia, sekali gus menjejaskan pilihan pengendali Thomas Tuchel di benteng pertahanan menjelang peringkat getir kejohanan.
Quansah diperintahkan keluar padang selepas semakan video mendapati beliau melakukan terjahan gelongsor dengan tapak kasut terangkat yang dianggap berbahaya.
Persatuan Bola Sepak England (FA) memaklumkan tidak mempunyai ruang untuk mengemukakan rayuan terhadap hukuman tersebut, namun tidak memperincikan sebab keputusan itu.
Penggantungan dua perlawanan itu menyaksikan Quansah terlepas aksi suku akhir menentang Norway di Miami pada Sabtu, selain berisiko terlepas perlawanan separuh akhir sekiranya England berjaya mara.
Pemain berusia 22 tahun itu hanya boleh kembali dipilih jika England layak ke pentas final Piala Dunia.
Situasi itu menambah tekanan kepada Tuchel yang sedang berusaha memastikan kemaraan England diteruskan, tatkala skuad The Three Lions turut dibelenggu masalah kecederaan yang menjejaskan kekuatan barisan pertahanan mereka. - Agensi