BERLIN: FIFA berhasrat mengumpul dana sebanyak US$4.2 bilion tahun ini bagi memperluas pembiayaan pembangunan menerusi sebuah syarikat baharu yang akan mengendalikan operasi komersial dan penganjuran acaranya, termasuk Piala Dunia dengan membenarkan pelabur swasta memperoleh pegangan minoriti dalam entiti berkenaan., lapor agensi berita Jerman (dpa).
Dalam satu kenyataan, badan induk bola sepak dunia itu memaklumkan bahawa ia berhasrat menjana lebih US$10 bilion untuk diagihkan kepada 211 persatuan ahli gabungan FIFA, tertakluk kepada kelulusan.
Persatuan ahli gabungan FIFA akan menerima dana FIFA Forward sebanyak US$20 juta bagi kitaran 2027 hingga 2030, berbanding US$8 juta yang dirancang sebelum ini.
Jumlah itu akan meningkat kepada US$24 juta bagi tempoh 2035 hingga 2038.
FIFA memaklumkan bagi tujuan itu, FIFA Forward Enterprise (FFE) akan ditubuhkan sebagai sebuah anak syarikat baharu yang dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh FIFA, yang akan menyatukan operasi komersial dan penganjuran acaranya, merangkumi hak penyiaran, penajaan, penjualan tiket, pelesenan serta pelaksanaan operasi acara FIFA.
Menurut FIFA, badan itu akan terus mengekalkan kawalan penuh ke atas FFE serta kuasa eksklusif terhadap tadbir urus bola sepak, pertandingan, kalendar perlawanan dan semua keputusan mengenai peraturan serta aspek sukan.
Sekiranya diluluskan oleh persatuan ahli gabungan FIFA dan Majlis FIFA, FFE akan mengumpul sehingga US$4.2 bilion pada akhir tahun ini bagi membiayai program berkenaan, berdasarkan penilaian ekuiti awal sebanyak US$20 bilion menerusi pemilihan secara teliti pelabur jangka panjang yang akan memperoleh pegangan minoriti tanpa kawalan dalam FFE.
Semua "manfaat bersih" yang dijana oleh FFE akan dilaburkan semula untuk pembangunan bola sepak di seluruh dunia.
-- BERNAMA-dpa