LIVERPOOL: Liverpool melantik jurulatih dari Sepanyol, Andoni Iraola sebagai pengurus baharu mereka pada Khamis, susulan pemecatan Arne Slot selepas kegagalan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Iraola muncul sebagai pilihan utama untuk menggantikan Slot, yang ditamatkan kontrak secara mengejut Sabtu lalu selepas dua musim mengemudi pasukan itu.
Kelab itu tidak mendedahkan tempoh kontrak jurulatih berusia 43 tahun itu, namun laporan media Britain menyebut beliau menandatangani perjanjian selama dua tahun.
“Sangat teruja, benar-benar teruja kerana semua orang tahu Liverpool adalah kelab besar, antara yang terbesar di dunia,” kata Iraola menerusi laman rasmi kelab.
“Tetapi selepas memahami dengan lebih mendalam mengenai kelab ini, saya sentiasa merasakan ia kelab yang istimewa.
“Tidak perlu banyak sebab untuk tertarik dengan Liverpool. Liverpool tetap Liverpool.”
Pelantikan Iraola hadir selepas kritikan terhadap persembahan hambar Liverpool dalam musim kedua di bawah Slot, dengan jurulatih baharu itu dijangka membawa pendekatan lebih pantas dan agresif - gaya yang sinonim ketika era Jurgen Klopp.
Iraola mencipta reputasi cemerlang apabila membawa Bournemouth menamatkan saingan di tangga keenam Liga Perdana musim ini, sekali gus melayakkan kelab itu ke pentas Eropah buat kali pertama menerusi Liga Eropah.
Beliau menyertai kelab pantai selatan itu dari Rayo Vallecano pada 2023, selepas pernah mengendalikan Mirandes dan AEK Larnaca di Cyprus.
Di bawah bimbingannya, Bournemouth menunjukkan peningkatan konsisten dengan kedudukan ke-12, kesembilan dan akhirnya keenam dalam tempoh tiga musim.
Bekas pemain pertahanan itu turut dipuji kerana kebijaksanaan taktikal serta keupayaan membangunkan pemain muda termasuk Eli Junior Kroupi dan Alex Scott.
Liverpool tamatkan musim di tangga kelima
Menjelang penghujung musim lalu, bintang Mesir, Mohamed Salah secara terbuka menyeru pasukan kembali kepada gaya “heavy metal football” yang membawa kejayaan besar ketika era Klopp - sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Slot.
Iraola sebelum ini menyatakan hasratnya untuk menerapkan corak permainan menyerang berintensiti tinggi dan tekanan atas (high press), berbeza dengan pendekatan lebih terkawal yang diamalkan Slot.
Dilahirkan di wilayah Basque, Sepanyol, Iraola membuat lebih 500 penampilan bersama Athletic Bilbao sebelum beraksi dalam Major League Soccer bersama New York City, di mana beliau bergandingan dengan Frank Lampard dan Andrea Pirlo.
Beliau kini tiba di Merseyside ketika Liverpool berada di persimpangan penting susulan kegagalan Slot mengekalkan dominasi kelab itu di puncak bola sepak England.
Slot sebelum ini berdepan tugas sukar menggantikan Klopp, yang meninggalkan Anfield pada 2024 selepas tempoh gemilang sembilan tahun termasuk menjuarai Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.
Pengurus dari Belanda itu bermula cemerlang apabila membawa Liverpool menjulang gelaran liga ke-20 dalam musim pertamanya, didorong 29 gol Mohamed Salah.
Namun, beliau gagal mengekang kemerosotan prestasi pada musim 2025/26 apabila Liverpool merudum sejak penghujung September dan mengakhiri musim tanpa sebarang trofi.
Kematian penyerang Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya pada Julai lalu turut memberi kesan besar kepada pasukan, selain perbelanjaan besar sekitar 450 juta pound untuk pemain baharu yang tidak membuahkan hasil.
Hubungan Slot dengan Salah juga dilaporkan merosot, manakala penyokong mula hilang sabar susulan persembahan tidak bermaya serta keputusan hambar.
Liverpool akhirnya menamatkan saingan di tangga kelima, ketinggalan 25 mata di belakang juara Arsenal, namun masih layak ke Liga Juara-Juara musim depan. - Agensi