KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara (WAWASAN) menyatakan kesediaan menjadi jambatan menyatukan Pas dan UMNO dalam usaha memperkukuh perpaduan politik Melayu serta mengelakkan perpecahan yang merugikan rakyat.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pendirian itu merupakan antara matlamat utama WAWASAN selepas diterima secara rasmi sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, sejak hari pertama pelantikan sebagai Presiden WAWASAN, parti itu telah meletakkan hasrat untuk menjadi penghubung kepada dua parti Melayu terbesar berkenaan.
“Saya menggambarkan parti WAWASAN akan menjadi jambatan kepada semua parti dalam negara kita, terutamanya dua parti yang besar iaitu Pas dan UMNO.
"Ini saya sebutkan ketika mengeluarkan kenyataan kali pertama sebagai Presiden pada Sabtu lalu sewaktu mesyuarat khas perwakilan parti ini,” katanya dalam satu sidang media, di sini, pada Khamis.
Tambah Ahli Parlimen Larut itu, penerimaan WAWASAN sebagai anggota PN membuka ruang kepada parti itu untuk memainkan peranan lebih besar dalam menyatukan kekuatan pembangkang.
Menurut Ketua Pembangkang itu, usaha menyatukan parti-parti politik perlu didahulukan berbanding persaingan sesama sendiri, khususnya ketika rakyat berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan kos sara hidup.
"Pendekatan yang dibawa WAWASAN bukan sekadar membina sebuah parti politik baharu, sebaliknya menyediakan platform yang mampu menyatukan pelbagai pihak demi kepentingan negara.
"Kami fikirkan sudah sampai masanya majoriti ahli politik di negara ini melihat sesuatu yang lebih 'segar'.
"Agenda WAWASAN adalah untuk melihat masa depan negara ini dipertanggungjawabkan kepada kami untuk mengubah… segala yang baik akan diteruskan dan ditambah baik, manakala yang tidak baik akan kita perbetulkan, inilah gerakan RESET," jelasnya.