IPOH: Perak merekodkan peningkatan jumlah kumulatif kes denggi, iaitu 1,248 kes sejak awal tahun ini berbanding 1,052 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri Datuk A. Sivanesan berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan 196 kes atau 18.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata terdapat satu kematian membabitkan seorang lelaki berusia 53 tahun di Slim River pada 28 Jan lepas.
“Daerah Kinta merekodkan jumlah kes paling tinggi, iaitu 68 kes pada Minggu Epidemiologi ke-24, diikuti Manjung dengan empat kes manakala daerah Kerian serta Larut, Matang dan Selama mencatat dua kes.
“Daerah lain seperti Batang Padang, Kuala Kangsar, Hilir Perak, Bagan Datuk dan Hulu Perak hanya merekodkan satu kes manakala Kampar, Muallim dan Perak Tengah tiada kes sepanjang tempoh itu,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Sivanesan berkata terdapat 27 lokaliti wabak denggi dilaporkan, antaranya Kampung Baru Bemban, Pangsapuri Cherry, Taman Cempaka 3, Kampung Tengku Hussein Hujung serta Kampung Baru Kanthan.
-- BERNAMA