KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching menerima pengumuman pengunduran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim pada hari ini dengan berat hati.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata Marina telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin berdedikasi semenjak menjawat sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) sehingga menjadi ADUN.
“Sejak awal lagi beliau menunjukkan semangat yang menyerlah serta komitmen yang tinggi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya hari ini.
Nie Ching turut menjelaskan pelan strategik DAP terhadap Marina untuk membina rekod dan reputasi selaku wakil rakyat sebelum memperluaskan khidmat ke kawasan yang bukan merupakan kubu tradisi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) Johor telah memulakan rundingan pembahagian kerusi di mana kemungkinan besar terdapat satu kerusi kawasan bandar yang pernah dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan ditandingi oleh DAP.
“Kepimpinan parti berpandangan bahawa Marina merupakan calon paling berpotensi yang mempunyai peluang kemenangan paling tinggi untuk menggalas misi strategik DAP melangkah keluar daripada kawasan tradisi parti,” katanya.
Beliau turut mengesahkan perkara tersebut telah dimaklumkan secara terperinci kepada Marina tanpa mengira keputusan PRN Johor kelak.
Nie Ching turut berhasrat untuk mencadangkan Marina sebagai Pengerusi kepada sebuah badan berkanun.
“Sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi PRN Johor telah menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati beliau dalam apa cara sekalipun, saya ingin merakamkan rasa kesal secara terbuka,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Marina dan mendoakan yang terbaik dalam apa jua bidang yang diceburi olehnya.
“Beliau memilih untuk berundur dari arena politik, saya yakin akan ada banyak lagi ruang dan peluang pada masa hadapan untuk kita bekerjasama demi kebaikan masyarakat dan negara,” katanya lagi.