Skip to main content

Politik

Tamim Dahri tidak akan hadir ke mahkamah Langkawi

ALOR SETAR – Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak mengesahkan tidak akan hadir ke Mahkamah Majistret Langkawi pada Ahad bagi prosiding yang ditangguhkan pada April lalu.
Tangkap layar akaun Threads Tamim Dahri. - Foto Sinar Harian

ALOR SETAR: Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak mengesahkan tidak akan hadir ke Mahkamah Majistret Langkawi pada Ahad bagi prosiding yang ditangguhkan pada April lalu.

Menerusi kenyataan dimuat naik di akaun Threadsnya, beliau mendakwa tindakannya itu bukan disebabkan takut, sebaliknya tiada apa yang berubah jika patuh pada undang-undang negara.

“Lawan di mahkamah dalam konteks kita sebagai pejuang yang didakwa jelas tak berbaloi. Penceroboh tetap teguh tidak terusik.

"Lebih baik fokus teruskan perjuangan dengan 'Trash Hunter',” katanya pada malam tadi.

Dalam kenyataan tersebut, Tamim Dahri turut memuat naik tangkap layar perbualan peringatan yang memintanya hadir ke Mahkamah Majistret Langkawi pada jam 9 pagi, namun menegaskan beliau tidak akan hadir.

"Tiada manfaat dunia dan akhirat kalau saya ke sana. Keluarkan waran tangkap kalau perlu. Saya boleh sambung perjuangan dari mana-mana tempat saya berada," tulisnya.

Pada 17 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan Mahkamah Majistret Langkawi menangguhkan pertuduhan terhadap Tamim Dahri sehingga 15 Mei selepas dia dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi.

Majistret Hemy Annerina Haja Mydin menetapkan tarikh baharu itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim memohon tempoh sekurang-kurangnya dua bulan bagi membolehkan tertuduh dibawa ke mahkamah.

Dalam prosiding sama, pihak pendakwaan memaklumkan Tamim Dahri dipercayai keluar dari negara ini melalui Bukit Kayu Hitam ke Thailand pada 9 Mac sebelum dikesan berada di Arab Saudi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memaklumkan belum dapat mengesahkan sama ada beliau menggunakan visa pelancong atau visa umrah.

Sebelum itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan empat individu termasuk Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah), Zamri Vinoth dan aktivis Arun Dorasamy akan didakwa berkaitan kes provokasi agama.

Selain Tamim Dahri, seorang lagi individu, P Mahendra Boopathy turut didakwa dalam kes berasingan berkaitan isu sama.

Tamim Dahri dijangka berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa merosakkan objek soolam yang merupakan simbol suci penganut Hindu di tapak lama kuil di Langkawi. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video