KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) terus membidas bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menjadi antara punca Pakatan Harapan (PH), terutama PKR mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu.
Exco AMK, Amira Alias berkata, label menteri gagal yang disandang oleh Rafizi terus mengheret beliau ke lembah kekalahan yang lebih memalukan apabila semua calon parti Bersama pimpinannya hilang deposit yang dianggarkan berjumlah RM120,000.
"Ketika menjadi menteri, beliau tidak melakukan apa-apa seperti yang dijanjikan sebelum PRU15 sehingga melekat label menteri gagal, dan selepas keluar PKR dan tubuhkan parti Kancil, usaha tersebut terus gagal apabila semua calon Bersama hilang deposit.
"Mungkin sekarang baru Rafizi boleh faham bahawa beliau tak semuanya betul dan tak semua yang orang lain buat itu salah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Isnin, Exco AMK, Dzul Hilmi Zainol berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRN Johor turut dipengaruhi tindakan Parti Bersama yang didakwa memecahkan undi PH demi membalas dendam terhadap PKR.
Sebelum ini, pemimpin DAP, Tony Pua dilaporkan berkata, antara kerusi PH yang didakwa terkesan akibat pertandingan Parti Bersama ialah Perling, Stulang dan Bukit Batu.
Mengulas lanjut, Amira berkata, perjuangan yang tiada matlamat dan hanya bertunjangkan rasa untuk membalas dendam tidak akan ke mana dan hanya memburukkan nama baik Rafizi dalam arena politik tempatan.
"Jadi, bagi mereka terutama anak muda yang ingin bertanding atas tiket Bersama pada PRN atau PRU akan datang, saya nasihatkan agar memikirkan sebaik-baiknya kerana ia melibatkan masa depan yang lebih besar," katanya.