Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: 'Tak perlu datang' - Zahid ingatkan Sanusi tidak main isu kaum, agama

[TB]_PRN, zahid hamidi, BN 2_ASTRO AWANI
Ahmad Zahid berkata, perkara sedemikian tidak perlu dibangkitkan kerana hanya akan meresahkan pelbagai kelompok masyarakat. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA PILAH: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak memainkan isu melibatkan kaum dan agama sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, sekiranya hasrat Muhammad Sanusi adalah untuk memperlihatkan penyatuan dalam kalangan rakyat, perkara sedemikian tidak perlu dibangkitkan kerana hanya akan meresahkan pelbagai kelompok masyarakat.

“Kalau hasrat beliau adalah untuk memperlihatkan penyatuan di kalangan umat, tak perlu pun menyentuh mengenai etnik, agama, budaya dan juga latar belakang lain-lain kaum di negara ini.

“Saya yakin kemajmukan rakyat di negara kita, latar belakang ini adalah sunatullah yang telah ditentukan. Jadi tidak perlu disentuh perkara-perkara yang begitu.

“Kalau mereka berhasrat untuk berkawan, buatlah cara mahu berkawan, bukan menyentuh perkara-perkara yang lain dan kalau boleh sehingga hari Sabtu nanti (1 Ogos), kita ada 6 hari lagi, saya ingat eloklah beliau sibukkan diri beliau mentadbir negeri Kedah.

"Tak perlu datang ke Negeri Sembilan. Biarlah kita ‘manage’ Negeri Sembilan dengan cara kita sendiri,” katanya ketika ditemui media pada Program Salam Agrikomoditi MADANI di Dataran Melang, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, secara sinis berkata, walaupun “ada harimau di dalam dada”, yang lebih sesuai keluar daripada percakapannya hanyalah “kambing”, merujuk kepada Muhammad Sanusi.

Beliau turut berpandangan ucapan Muhammad Sanusi yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Pas itu mungkin sesuai untuk rakyat negeri Kedah, namun tidak wajar dibawa ke Negeri Sembilan kerana berpotensi mengundang pelbagai tafsiran dan mencetuskan keresahan dalam masyarakat majmuk.

Semalam, media melaporkan Presiden MIC, SA Vigneswaran menyeru BN mempertimbangkan langkah untuk bertanding secara solo dalam PRN akan datang susulan kenyataan pimpinan Pas yang didakwa kerap menyinggung perasaan masyarakat bukan Melayu.

Beliau berkata, kenyataan berulang daripada sesetengah pemimpin Pas yang menyentuh sensitiviti perkauman dan keagamaan bukan sahaja menyulitkan sebarang bentuk kerjasama politik, malah menjejaskan usaha BN untuk memenangi hati pengundi berbilang kaum.

Media juga melaporkan Sanusi dalam ceramah perdana BN-PN di Jempol dua hari lalu ketika berucap mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.

Beliau juga menegaskan Malaysia satu-satunya tanah yang menjadi tempat perlindungan bagi orang Melayu, sama seperti negara lain yang mempunyai kaum 
asal masing-masing.
 

Must Watch Video

Advertisement