REMBAU: Sorakan ‘Hobin Jang Hobin, Hobin Sampai Monang’ iringi ketibaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Pusat Penamaan Calon Dewan Seri Rembau pagi ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut diiringi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama lebih 500 penyokong BN.
Turut tiba bersama rombongan ialah calon BN bagi DUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris dan Suhaimi Aini yang bertanding di DUN Kota.
Suasana bertambah meriah dengan paluan gendang dan persembahan tarian singa yang mengiringi perarakan Mohamad menuju ke pusat penamaan calon.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau mempertahankan kerusi DUN Rantau yang disandang sejak 2004 selepas mencatat kemenangan selesa pada PRN 2023 dengan memperoleh 16,957 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Rozmal Malakan yang meraih 6,677 undi, sekali gus memberikan majoriti 10,280 undi.
Pada PRN kali ini, Mohamad dijangka berdepan pertandingan satu lawan satu apabila Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan Dr Azizul Hakim Mahdi bagi mencabar kubu kuat BN itu.
Dewan Seri Rembau menjadi pusat penamaan calon bagi empat kerusi DUN di bawah Parlimen Rembau iaitu Rantau, Kota, Chembong dan Rembau dengan proses penyerahan kertas penamaan calon berlangsung dari jam 9 hingga 10 pagi.