Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: “Saya bukan lari dari Sikamat” - Aminuddin

SEREMBAN, 4 Jun -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap kepada wartawan semasa sidang media khas di kediaman rasminya, hari ini.  Beliau berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi itu diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas sesi menghadap di Istana Besar Seri Menanti hari ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang akan diadakan selepas pembubaran berk
Ujar Aminuddin, sepanjang empat penggal menjadi ADUN Sikamat, beliau telah melalui pelbagai fasa termasuk ketika menjadi wakil rakyat pembangkang sebelum diberi amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan. - Gambar fail/Bernama

REMBAU: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan keputusannya untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini bukan kerana “lari” daripada kawasan yang diwakilinya selama ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan keputusan bertanding di DUN Linggi dibuat atas pilihan dan kehendaknya sendiri bagi meneruskan khidmat serta berbakti kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Ujarnya, sepanjang empat penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, beliau telah melalui pelbagai fasa termasuk ketika menjadi wakil rakyat pembangkang sebelum diberi amanah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

“Sikamatlah yang memberi peluang kepada saya pada tahun 2008. Di situlah bermulanya perjalanan politik saya. Penduduk Sikamat menjadi saksi bagaimana susah dan payahnya perjalanan itu.

“Dari sebuah pejabat kecil di atas kedai, dengan peruntukan yang serba terhad ketika menjadi pembangkang, kami bersama-sama berusaha mencari dana, membantu rakyat dan menganjurkan pelbagai program demi kebajikan penduduk.

“Semua kenangan itu tidak akan saya lupakan,” katanya menerusi satu entri di laman media sosialnya, pada Khamis.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengakui mempunyai hubungan yang cukup akrab dengan masyarakat di Sikamat sehingga menganggap mereka sebagai sebuah keluarga, malah isteri dan anak-anaknya juga mempunyai hubungan rapat dengan penduduk di kawasan itu.

“Kami sudah seperti sebuah keluarga. Setiap kali saya pulang ke Sikamat, saya tidak pernah merasakan seperti menghadiri program rasmi, sebaliknya seperti pulang ke kampung sendiri,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan telah menyerahkan amanah meneruskan khidmat di DUN Sikamat kepada calon PH, Nor Azman Mohamad, sambil berharap kawasan tersebut terus dipelihara dan rakyatnya disantuni dengan sebaik mungkin.

Mengulas mengenai pencalonannya di DUN Linggi, Aminuddin berkata, sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRN kali ini, beliau berjanji akan bekerja dengan lebih kuat dan gigih demi kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.

DUN Linggi merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan penyandangnya, Datuk Mohd Faizal Ramli akan mempertahankan kerusi DUN itu dalam PRN16.

Pada PRN 2023, Mohd Faizal berjaya mengekalkan penguasaan BN di DUN Linggi dengan memperoleh 1,461 majoriti apabila merekodkan 7,832 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zambri Mat Said  dengan 6,371 undi.

Must Watch Video

Advertisement