SEREMBAN: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Razali Abu Samah, bertekad mendekati pengundi dan memahami keperluan mereka sebagai pendekatan utama dalam usahanya menawan kerusi itu pada Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).
Menurut bekas Timbalan Ketua Polis Melaka itu, keutamaan ketika ini adalah bertemu seramai mungkin pengundi bagi mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi sebelum mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Yang pertama sekali, kita kena menawan hati pengundi. Kita kena berjumpa dengan mereka. Kita berbincang secara baik, kita tanya apa permasalahan mereka.
“Kalau boleh kita atasi, kita atasi. Kalau tak boleh, kita cuba fikir bagaimana untuk menguruskannya. Ada masalah yang mungkin tidak boleh diselesaikan sepenuhnya, tetapi kita boleh menguruskannya dengan baik,” katanya selepas diumumkan sebagai calon PN bagi DUN Sikamat malam tadi.
Selain mendekati pengundi, beliau akan mengadakan perbincangan bersama jentera parti bagi menyusun strategi menghadapi kempen pilihan raya.
Menurut Razali, pengalaman jentera yang telah lama berkhidmat di kawasan itu akan dimanfaatkan bagi memperkukuhkan gerak kerja sepanjang tempoh berkempen.
Ini kerana persaingan di DUN Sikamat tidak boleh dipandang mudah, namun yakin segala cabaran dapat dihadapi menerusi kerjasama erat semua pihak.
“Bagi saya, dalam pilihan raya ini tidak ada yang terlalu kuat dan tidak ada yang terlalu lemah. Semuanya boleh kita bincang dan usahakan bersama.
“Saya tidak menjanjikan bulan dan bintang. Insya-Allah, saya hanya menjanjikan kestabilan politik, keharmonian dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat, khususnya di DUN Sikamat,” katanya lagi.
DUN Sikamat merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan ketika ini disandang oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Bagaimanapun untuk PRN16, Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak akan mempertahan DUN tersebut dan akan bertanding di Linggi.
Untuk rekod, Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Pada PRU12, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 499 undi apabila memperoleh 6,036 undi dan pada PRU ke-13, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 510 undi selepas memperoleh 8,584 undi.
Prestasi beliau terus meningkat pada PRU14 apabila mencatat kemenangan lebih selesa dengan majoriti 3,413 undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas selepas memperoleh 9,832 undi.
Pada PRN 2023 pula, Aminuddin berjaya mempertahankan DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon PN dan dua calon Bebas.