Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: PN lulus rundingan agihan kerusi, benar guna logo gabungan

41767104723_PerikatanNasional.jpg
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai. - Gambar hiasan

SEREMBAN: Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) meluluskan rundingan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan antara parti komponen gabungan itu serta membenarkan penggunaan lambang PN oleh calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan hari ini berkata, ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas MT PN yang diadakan pada Khamis.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan bersetuju meluluskan rundingan pembahagian kerusi antara PAS, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Wawasan Negara (Wawasan).

“Merujuk kepada kenyataan Presiden Bersatu bertarikh 15 Julai 2026, adalah dimaklumkan bahawa segala proses perbincangan dan libat urus dengan mana-mana pihak di peringkat awal telah dijalankan di dalam pengetahuan dan kebenaran daripada saya selaku Pengerusi Perikatan Nasional.

“Ia telah pun dimuktamadkan dan diluluskan oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada mesyuarat hari ini,” ujar beliau dalam kenyataan itu.

Menurut Ahmad Samsuri, bagi tujuan PRN Negeri Sembilan, penyertaan sejumlah calon PN yang akan diumumkan hari ini adalah bagi membela kebajikan rakyat, mengangkat agenda pembangunan negeri serta mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di Negeri Sembilan khususnya dan Malaysia amnya.

Semalam, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk bertanding menggunakan simbol parti itu pada PRN Negeri Sembilan selepas mendakwa tidak dilibatkan dalam rundingan pembahagian kerusi PN.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan itu dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu selepas mengambil kira perkembangan semasa dalam gabungan berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.

Must Watch Video

Advertisement