Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: PH sudah jangka strategi politik BN, PN - Anthony Loke

NILAI, 16 Julai -- Menteri Pengangkutan Anthony Loke (tiga, kiri) ketika menyampaikan replika cek kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua Mantin pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat MADANI 2026 Jabatan Pengangkutan Jalan di Balai Raya Kampung Mantin Dalam hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anthony (tiga, kiri) ketika menyampaikan replika cek kepada SJKC Chung Hua Mantin pada Majlis Pelancaran Program Kampung Angkat MADANI 2026 JPJ di Balai Raya Kampung Mantin Dalam hari ini. - Gambar/ Bernama

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) telah menjangkakan segala kemungkinan strategi politik pihak lawan termasuk sebarang kerjasama membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata berdasarkan perkembangan politik yang berlaku sebelum ini, termasuk pada PRN Johor, PH tidak akan tergugat dengan sebarang percaturan pihak lawan, sebaliknya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kekuatan jentera sendiri.

Beliau berkata keutamaan PH ketika ini ialah memperkukuh kesepakatan dalam kalangan  parti komponen bagi memenangi kerusi yang ditandingi.

"Ini (strategi PN dan BN) sudah pun dijangka dan jelas... itu adalah pilihan mereka. Jadi, PH akan fokus kepada kekuatan kita sendiri untuk memenangi kerusi yang ditandingi.

"Apa yang penting ialah kekuatan dan kesepakatan dalam kalangan komponen PH sendiri untuk menghadapi pilihan raya. Apa sahaja cabaran dan persaingan, saya rasa akhirnya ia adalah pilihan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Santuni MADANI Kementerian Pengangkutan Tahun 2026 di Kampung Mantin Dalam, di sini, hari ini.

Anthony berkata demikian ketika diminta mengulas kerjasama BN dan Pas berhubung strategi pengagihan kerusi serta rundingan kawasan bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Mengulas persaingan yang dijangka sengit, termasuk dakwaan berhubung kemungkinan peralihan sokongan pengundi Cina kepada parti lawan seperti MCA, Anthony berkata perkara itu terserah kepada kebijaksanaan rakyat untuk membuat pilihan.

"Kita (PH) juga akan memberikan saingan yang sengit. Saya rasa tidak perlu mengulas terlalu banyak kerana sebelum pilihan raya semua pihak boleh mendakwa mereka mendapat sokongan. Yang penting ialah keputusan pada hari pengundian nanti," katanya.

Anthony, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, berkata prestasi pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 menjadi sandaran utama PH untuk terus meraih keyakinan rakyat.

Sementara itu, mengulas kemelut politik di Melaka susulan tindakan DAP Melaka menarik diri daripada pentadbiran negeri berhubung isu pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, beliau berkata keputusan itu adalah muktamad.

"Kita telah pun menyatakan pendirian semalam dan menghormati keputusan yang diambil oleh DAP Melaka.

"Kerajaan negeri juga telah membuat pelarasan semula kedudukan kerusi di dalam DUN, jadi perkara itu sudah menjadi kenyataan dan muktamad," katanya.

Sementara itu, mengenai Program Kampung Angkat MADANI, Anthony yang juga Menteri Pengangkutan menolak dakwaan bahawa inisiatif penyampaian bantuan serta penambahbaikan prasarana luar bandar itu merupakan agenda bermusim menjelang pilihan raya.

Beliau berkata program berkenaan telah dilaksanakan oleh setiap kementerian secara berterusan sejak 2025 bagi memastikan kemudahan asas di kawasan kampung terus dipertingkat demi kesejahteraan komuniti setempat.

Kampung Baru Mantin dipilih di bawah Program Kampung Angkat MADANI, manakala Kampung Mantin Dalam dipilih di bawah Program Santuni MADANI. Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Mantin dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement