Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Teka-teki selesai, PN-BN kerjasama benam PH - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man, isytihar calon,
Tuan Ibrahim turut menolak dakwaan bahawa pembentukan jajaran politik baharu itu mengancam mana-mana kaum atau agama. - Gambar Astro AWANI

SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan pengumuman pembahagian kerusi antara PN dan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai satu khabar yang dinanti-nantikan rakyat.

Menurut beliau, kerjasama itu membuka lembaran baharu politik negara dengan matlamat utama menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri berkenaan.

“Rakyat selama ini tertanya-tanya mengenai 25 kerusi yang diumumkan. Malam ini kita melengkapkan puzzle tersebut dengan mengumumkan baki 11 kerusi bersama BN.

“Ini satu elemen baharu politik Malaysia yang saya percaya sedang ditunggu-tunggu rakyat. Ayuh kita benam PH,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Calon PN bagi PRN Negeri Sembilan, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, kerjasama itu lahir daripada keperluan menyediakan alternatif kepada rakyat selepas mendakwa kerajaan sedia ada gagal memenuhi harapan mereka.

Dalam masa sama, Tuan Ibrahim turut menolak dakwaan bahawa pembentukan jajaran politik baharu itu mengancam mana-mana kaum atau agama.

Sebaliknya, beliau menegaskan gabungan berkenaan merupakan wadah yang meraikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

“Kita bukan ancaman kepada kaum lain, bukan ancaman kepada agama lain. Kita rakyat Malaysia yang cintakan negara ini.

“Mari kita bergerak bersama menyokong sebuah wadah politik baharu demi membina sebuah negara yang bertamadun, harmoni dan mengutamakan kebajikan rakyat,” katanya.

Mengulas kempen PRN, beliau turut mendakwa cubaan pihak lawan memainkan naratif 'gelombang hijau' untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu tidak lagi berkesan.

Jelasnya, rakyat kini lebih matang dan mempunyai akses kepada pelbagai sumber maklumat.

“Pengundi hari ini bukan lagi pengundi yang tidak ada maklumat. Mereka tahu menilai dan tidak mudah dipengaruhi dengan pembohongan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan calon yang diketengahkan PN telah melalui proses saringan ketat merangkumi latar belakang, kemampuan berkhidmat serta komitmen kepada rakyat.

Must Watch Video

Advertisement