Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Perubahan kerjasama politik cetus persoalan kestabilan negara - Penganalisis

DR AHMAD ZAHARUDDIN SANI AHMAD SABRI
Menurut Ahmad Zaharuddin, sekiranya semua pihak benar-benar berkongsi pendirian serta matlamat serupa, persoalan timbul mengapa tidak bergabung di bawah satu parti dan satu logo sahaja. - Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Perubahan bentuk kerjasama politik yang berlaku dalam tempoh singkat boleh menimbulkan persoalan terhadap maksud sebenar kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap hala tuju negara.

Menurut penganalisis politik dan Konsultan Kanan Asia Global Consulting, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, rakyat kini berdepan dengan situasi apabila sokongan atau kerjasama politik boleh berubah mengikut keadaan semasa.

Tegas beliau, perubahan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar mencerminkan kestabilan yang sering ditekankan oleh parti politik.

“Trend yang berlaku pada hari ini menunjukkan rakyat mungkin pada satu masa bersetuju dengan satu pihak, kemudian pada masa akan datang perlu menerima pihak yang lain pula.

“Tetapi persoalannya, apabila kita bercakap mengenai kestabilan, di manakah kestabilan tersebut jika hari ini kita bersama A, tiga bulan kemudian bersama B dan selepas itu bersama C?” soal beliau dalam wawancara bersama Buletin AWANI Khas sempena Pilihan Raya Negeri Sembilan, hari ini.

Dalam masa sama, kata beliau, perubahan arah kerjasama politik yang kerap boleh memberi kesan terhadap keyakinan masyarakat terhadap negara.

“Bagaimana orang mahu mempercayai negara kita jika kita sering mengubah arah dan pendirian?” soal beliau lagi.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zaharuddin mempersoalkan penggunaan istilah seperti perpaduan dan muafakat nasional yang sering dikaitkan dengan kerjasama politik.

Menurutnya, istilah tersebut tidak seharusnya dilihat hanya mewakili satu kelompok atau gabungan tertentu sahaja.

“Kalau kita kata kita mahu perpaduan dan muafakat, adakah pihak yang tidak bersama kita itu tidak mahukan perpaduan? 

"Adakah hanya mereka yang berada dalam satu kumpulan sahaja yang mahu kepada perpaduan?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan alasan parti politik membentuk kerjasama atas dasar mempunyai perjuangan, ideologi dan matlamat yang sama.

Katanya, sekiranya semua pihak benar-benar berkongsi pendirian serta matlamat serupa, persoalan timbul mengapa tidak bergabung di bawah satu parti dan satu logo sahaja.

Ahmad Zaharuddin berkata, kewujudan pelbagai parti politik tidak ketinggalan mencetuskan persoalan sama ada perbezaan itu benar-benar berasaskan perbezaan perjuangan atau sebahagiannya berpunca daripada persaingan untuk mendapatkan kuasa kepimpinan.

Must Watch Video

Advertisement