Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Jalaluddin yakin BN mampu peroleh majoriti mudah

JALAL MB N9_Astro AWANI
Jalauddin berkata BN menjangkakan mampu meraih kemenangan melebihi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri. - Foto Astro AWANI

KUALA KLAWANG: Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yakin Barisan Nasional (BN) akan memperoleh mandat daripada rakyat untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini.

Beliau berkata, BN menjangkakan mampu meraih kemenangan melebihi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperoleh majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri.

“Saya mempunyai keyakinan penuh bahawa Barisan Nasional akan diberikan mandat oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan secara total.

“Maksudnya ialah Barisan Nasional akan mencapai kemenangan melebihi 19 kerusi iaitu majoriti mudah bagi kita menubuhkan kerajaan. Itu jangkaan dan juga keyakinan saya,” kata beliau kepada wartawan selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Besar, Kuala Klawang Jelebu hari ini.

Mengulas kemungkinan pembentukan kerajaan bersama parti lain sekiranya tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti, Jalaluddin berkata pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam politik berdasarkan pengalaman lalu.

Bagaimanapun, beliau tetap yakin BN mampu membentuk kerajaan negeri secara bersendirian tanpa perlu bergabung dengan mana-mana parti lain.

Terdahulu pada hari sama, Jalaluddin sah mempertahankan kerusi DUN Pertang dalam saingan tiga penjuru pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Beliau akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Umry Abdul Khois dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus.

Persaingan ketiga-tiga calon itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jelebu, Abdul Rahim A. Aziz dalam satu sidang media selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Besar, Kuala Klawang, Jelebu hari ini.

Untuk rekod, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu memenangi kerusi Pertang pada PRN 2023 dengan majoriti 2,790 undi selepas memperoleh 5,634 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Amiruddin Hassan yang meraih 2,844 undi.

Beliau memegang kerusi itu dari 2013 hingga 2018 sebelum kembali bertanding dan menang semula pada PRN 2023.

Must Watch Video

Advertisement