Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Jalaluddin pertahan Pertang, berdepan saingan 3 penjuru

PRN, SPR, pertang -- AWANI
Dari kiri: Mohd Faizal Fadli, Mohd Umry dan Jalaluddin akan bertanding merebut DUN Pertang dalam PRN kali ini. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA KLAWANG: Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias sah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang dalam saingan tiga penjuru Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 kali ini.

Penyandang kerusi itu akan dicabar calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Umry Abdul Khois dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Faizal Fadli Mohd Idrus.

Persaingan ketiga-tiga calon itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Jelebu, Abdul Rahim A Aziz, selepas proses penamaan calon selesai di Dewan Besar Kuala Klawang hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu memenangi kerusi Pertang pada PRN 2023 dengan majoriti 2,790 undi selepas memperoleh 5,634 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Amiruddin Hassan yang meraih 2,844 undi.

Beliau memegang kerusi itu dari 2013 hingga 2018 sebelum kembali bertanding dan menang semula pada PRN 2023.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia, DUN Pertang mempunyai seramai 12,873 pengundi berdaftar pada PRN kali ini.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos, manakala hari penamaan calon pada 18 Julai dan pengundian awal pada 28 Julai.

Must Watch Video

Advertisement