SHAH ALAM: Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding menggunakan logo sendiri menunjukkan parti itu secara sukarela memilih untuk 'mufarakah' daripada gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa berkata, pengumuman Bersatu itu dibuat sebelum Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN yang dijadual berlangsung pada jam 9.30 pagi, Khamis bagi memuktamadkan soal calon, pembahagian kerusi dan penggunaan lambang.
Menurutnya, tindakan Bersatu mendahului keputusan Majlis Tertinggi PN merupakan hak parti berkenaan dan perlu dihormati.
"Keputusan itu bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana sejak bulan lalu, kami telah dimaklumkan serta diberikan bukti dan maklumat secara hitam putih mengenai perancangan Bersatu untuk menghidupkan satu platform politik lain selain PN.
"Kami juga memahami dari awal penentangan Bersatu secara konsisten terhadap usaha penyatuan dan muafakat Melayu serta menolak usaha membuka PN kepada lebih banyak parti Melayu yang lain," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Khamis.
Pada Rabu, Bersatu mengumumkan akan meletakkan calon-calonnya menggunakan simbol parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan kegagalan Perikatan Nasional (PN) memuktamadkan pembahagian kerusi.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan ditangguhkan bagi tempoh yang tidak ditetapkan, selain Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan berkaitan agihan kerusi.
Annuar turut mendakwa Bersatu sebelum ini mengemukakan hasrat untuk bertanding di 15 kerusi pada PRN Negeri Sembilan, namun perkara itu sukar dipenuhi memandangkan PN mempunyai enam parti komponen dengan jumlah kerusi yang terhad.
"Apa jua alasan yang digunakan untuk bertanding dengan logo sendiri di PRN Negeri Sembilan, kita fahami terutama bila Bersatu sebenarnya telah memaklumkan secara rasmi kepada Jawatankuasa (JK) Perundingan Kerusi PN berhasrat mahu 15 kerusi (wish list) bagi PRN Negeri Sembilan.
"Yang sudah pasti tidak tertunai oleh PN yang mempunyai enam parti gabungan serta jumlah kerusi yang kurang dari 15.Tidak mungkin semua mesti dibolot Bersatu," ujarnya lagi.
Justeru, beliau berpandangan, keputusan menggunakan logo sendiri adalah yang terbaik bagi Bersatu dan perlu dihormati.
"Bersatu kini bebas untuk bertanding di 15 kerusi atau lebih pada PRN Negeri Sembilan. Bagi Pas, penyatuan ummah kita dahulukan, bukan jumlah kerusi," tegasnya. -- Sinar Harian