Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Dua sepupu bertembung raih sokongan pengundi di Pasar Minggu Kuala Klawang

JELEBU, 19 Julai -- Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Pasar Minggu Kuala Klawang pagi ini mencuri perhatian apabila penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang daripada Pakatan Harapan (PH), Datuk Bakri Sawir (kanan) bertembung dengan sepupunya yang juga calon Perikatan Nasional (PN), Danni Rais, ketika kedua-duanya turun padang bagi meraih sokongan pengundi di kerusi DUN yang sama, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Calon PH, Datuk Bakri Sawir (kanan) bertembung dengan sepupunya yang juga calon PN, Danni Rais, ketika kedua-duanya turun padang bagi meraih sokongan pengundi di kerusi DUN yang sama, hari ini. - Foto Bernama

JELEBU: Suasana kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Pasar Minggu Kuala Klawang pagi ini mencuri perhatian apabila dua sepupu yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang bertembung ketika masing-masing turun padang meraih sokongan pengundi.

Penyandang kerusi DUN Klawang Datuk Bakri Sawir daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN) Danni Rais, dilihat menyantuni pengunjung serta peniaga di pasar berkenaan dalam kempen yang memasuki hari kedua hari ini.

Kehadiran kedua-dua calon pada waktu yang hampir sama menarik perhatian orang ramai, dengan sebahagian pengunjung mengambil peluang bersalaman, berbual dan merakam gambar serta video ketika mereka melalui laluan yang sama di kawasan pasar.

Walaupun berbeza parti politik dan kini bersaing merebut kerusi yang sama, pertembungan kedua-dua sepupu itu berlangsung dalam suasana tenang dan harmoni apabila masing-masing meneruskan kempen secara berasingan tanpa sebarang provokasi, malah sempat bergurau senda.

Bakri ketika ditemui Bernama berkata beliau tidak melihat persaingan dengan sepupunya sebagai sesuatu yang luar biasa, sebaliknya menganggap pilihan raya sebagai medan menawarkan khidmat kepada rakyat.

“Bagi saya, tiada cabaran tertentu. Yang penting kita berkempen secara sihat dan mengikut peraturan. Semalam pun apabila kami ditegur oleh Majlis Daerah Jelebu berhubung pemasangan bendera di pagar stadium, kami terus mengambil tindakan menurunkannya.

“Kalau kita sendiri tidak menghormati undang-undang, bagaimana kita hendak meminta orang lain menghormatinya?” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak, khususnya jentera parti untuk memastikan tempoh berkempen berlangsung dalam suasana tertib dan saling menghormati demi menjaga keharmonian sepanjang PRN berlangsung.

Pada PRN kali ini, DUN Klawang yang mempunyai 13,355 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Bakri, Danni dan Muhammad Adib Musa mewakili Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari mengundi pada 1 Ogos.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement