PAROI: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ahmad Shahir Mohd Shah memulakan hari penamaan calon dengan menziarahi pusara Allahyarham isterinya sebelum hadir ke pusat penamaan calon pada Sabtu.
Ahmad Shahir atau mesra disapa Ustaz Shahir berkata, beliau memilih untuk menziarahi pusara insan yang disifatkannya sebagai tonggak kekuatan dalam setiap perjalanan hidup dan perjuangannya.
Katanya, arwah isterinya sentiasa berada di sisi ketika melalui saat suka dan duka, selain tidak putus memberikan sokongan serta mendoakan setiap langkah yang diambil.
“Dialah insan yang sentiasa berada di sisi saya dalam setiap suka dan duka. Bersama-sama mengharungi ujian kehidupan, memberi kekuatan ketika saya lemah, dan sentiasa mendoakan setiap langkah perjuangan yang saya pilih.
“Hari ini, walaupun jasadnya sudah tiada, doa, kasih sayang dan pengorbanannya tetap terpahat dalam hati saya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Menurut beliau, ziarah itu turut disusuli doa agar diberikan kekuatan, ketenangan serta dipermudahkan segala urusan dalam menggalas amanah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Dalam detik yang penuh bermakna ini, saya turut memohon kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan, ketenangan dan dipermudahkan segala urusan dalam menggalas amanah serta perjuangan yang sedang saya lalui.
“Semoga setiap langkah yang diatur mendapat petunjuk dan keberkatan daripadaNya,” tambahnya.
Ahmad Shahir yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan merupakan calon PH bagi DUN Paroi dan dijangka akan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zain serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Nazree Mohd Yunus.
DUN Paroi menjadi antara kerusi tumpuan pada PRN kali ini kerana merupakan kawasan dengan jumlah pengundi terbesar di Negeri Sembilan, melibatkan hampir 65,000 pemilih.