Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: BN tolak politik perkauman, kekal jadi jambatan perpaduan

SEPANG, July 23 -- Minister of Higher Education Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir delivers his keynote address during the President’s Forum 2026 organised by the Malaysian Qualifications Agency (MQA) here today.
Zambry berkata, politik ketakutan berbahaya kerana ia mengundang curiga, prasangka dan kebencian. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) tegas menolak politik perkauman dan ketakutan yang boleh memecah-belahkan rakyat serta menggugat keharmonian negara.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, persefahaman dan kerjasama politik yang diwujudkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan tidak bermakna BN menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak.

“BN menolak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tegas Zambry,  selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu.

Menurut beliau, BN kekal berdiri atas prinsipnya sebagai sebuah gabungan politik pelbagai kaum yang berteraskan perkongsian kuasa, sikap saling menghormati dan kesederhanaan.

“Barisan Nasional ialah gabungan politik pelbagai kaum yang telah membuktikan selama lebih enam dekad bahawa Malaysia mampu dibangunkan atas asas perkongsian kuasa, saling menghormati dan kesederhanaan,” katanya.

Pada masa sama, BN turut menolak politik ketakutan yang dimainkan dengan menggambarkan kononnya sesuatu kaum akan terancam sekiranya kerjasama politik parti tertentu memerintah.

“Politik ketakutan adalah berbahaya kerana ia mengundang curiga, prasangka dan kebencian,” katanya.

Beliau berkata, BN akan terus menawarkan politik kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan, selain mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Gabungan itu juga akan terus mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak sah semua warganegara.

“BN menolak golongan yang membina tembok perkauman dan meniupkan politik ketakutan. 

"BN akan terus mengekalkan kepimpinan yang membina jambatan perpaduan, mengukuhkan keyakinan rakyat dan menawarkan masa depan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak memainkan isu melibatkan kaum dan agama ketika berkempen PRN Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sekiranya hasrat Muhammad Sanusi adalah untuk memperlihatkan penyatuan dalam kalangan rakyat, perkara sedemikian tidak perlu dibangkitkan kerana hanya akan meresahkan pelbagai kelompok masyarakat.

Terdahulu, media melaporkan Sanusi dalam ceramah perdana BN-Perikatan Nasional (PN) di Jempol baru-baru ini, mendakwa kuasa politik dan penguasaan ekonomi orang Melayu semakin terhakis dan berdepan risiko hilang sepenuhnya dalam tempoh 10 tahun jika tiada perubahan drastik dilakukan.

Beliau juga menegaskan Malaysia satu-satunya tanah yang menjadi tempat perlindungan bagi orang Melayu, sama seperti negara lain yang mempunyai kaum 
asal masing-masing.

Must Watch Video

Advertisement