Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Berjasa tidak letak calon di lapan DUN, elak bertembung calon BN

 Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim -- Fb Ustaz Zamani Ibrahim
Zamani berkata, keputusan dicapai bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu serta memperkukuhkan agenda penyatuan ummah.

REMBAU: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) tidak meletakkan calon di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertindih dengan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Menerusi satu kenyataan, Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, keputusan dicapai bagi mengelakkan perpecahan undi Melayu serta memperkukuhkan agenda penyatuan ummah.

Ujarnya, lapan kerusi berkenaan ialah DUN Senaling, Juasseh, Sri Menanti, Lenggeng, Labu, Kota, Chembong dan Gemencheh.

Zamani berkata, Berjasa sebelum ini menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi DUN, namun keputusan itu disemak semula selepas mengambil kira pengumuman 25 calon BN pada Rabu.

“Keputusan ini dibuat demi meneruskan gelombang penyatuan ummah dan orang Melayu.

“Kami tidak mahu berlaku perpecahan undi Melayu yang akhirnya merugikan agenda yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan prinsip perjuangan Berjasa yang mengutamakan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi persaingan politik semata-mata.

Dalam pada itu, Zamani berkata, meskipun tidak meletakkan calon di lapan kerusi berkenaan, jentera Berjasa akan terus digerakkan sepanjang tempoh kempen.

Katanya, tumpuan akan diberikan kepada usaha menggalakkan pengundi Melayu keluar mengundi serta memilih calon Muslim yang berwibawa.

“Ketiadaan calon Berjasa tidak bermakna kami tidak berperanan. Seluruh jentera akan terus bekerja bagi memastikan mesej penyatuan orang Melayu dan kepentingan memilih kepimpinan yang berintegriti dapat disampaikan kepada pengundi,” tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, keputusan berhubung tujuh lagi kerusi yang akan ditandingi Berjasa hanya akan dimuktamadkan selepas Perikatan Nasional (PN) mengumumkan senarai calonnya.

Menurutnya, Berjasa turut meneliti kemungkinan meletakkan calon bukan Melayu untuk bertanding di satu atau dua kerusi majoriti Melayu sebelum membuat keputusan muktamad mengenai kerusi yang akan ditandingi.

Must Watch Video

Advertisement