Skip to main content

Politik

PRN Johor: Onn Hafiz hargai sokongan pengundi, komited akan terus berkhidmat

[TB]_Onn Hafiz Ghazi PRN Johor 2026_FB Onn Hafiz Ghazi
Menerusi perkongsian di Facebook awal pagi tadi, Onn Hafiz berkata, sokongan yang diterima menjadi pemangkin semangat untuk beliau bersama pasukan pentadbirannya terus berkhidmat dengan sepenuh hati demi kemajuan Johor. - Foto Facebook/ Onn Hafiz Ghazi

KUALA LUMPUR: Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan penghargaan kepada seluruh Bangsa Johor atas sokongan yang diberikan kepadanya selepas Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Menerusi perkongsian ringkas di Facebooknya awal pagi tadi, Onn Hafiz yang memenangi kerusi DUN Machap menyatakan sokongan yang diterima menjadi pemangkin semangat untuk beliau bersama pasukan pentadbirannya terus berkhidmat dengan sepenuh hati demi kemajuan Johor.

"Terima kasih di atas sokongan anda. Ia adalah pemangkin semangat untuk saya dan pasukan saya untuk terus berkhidmat dengan sepenuh hati demi Johor tercinta.

"Semoga dipermudahkan segala urusan. Kepada Allah kita berserah," katanya.

Pada PRN Johor yang berlangsung semalam, BN memperoleh kemenangan besar apabila berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti selesa, sekali gus membolehkan gabungan itu meneruskan pentadbiran negeri bagi penggal akan datang.

Onn Hafiz Ghazi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nur Hafiz Roslan.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor menang dengan majoriti 15,375 selepas meraih 20,382 undi, berbanding Nur Hafiz dengan 5,007 undi.

Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihanraya DUN Machap, Mohd Izzul Helmi Ahmad selepas penjumlahan undi daripada 66 pusat mengundi membabitkan 65 saluran selesai di Dewan Muafakat, Majlis Daerah Simpang Renggam.
 

Must Watch Video

Advertisement