Skip to main content

Politik

PRN Johor: ‘Cucu Wak Nin’, Alias Rasman selesai mengundi

Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Alias Rasman selesai mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 kira-kira jam 9.15 pagi tadi
Alias (kanan) mengundi di Sekolah Menengah Arab Kota Tinggi, salah satu pusat mengundi bagi DUN Panti, pada Sabtu. - Gambar Astro AWANI

KOTA TINGGI: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Alias Rasman selesai mengundi bagi Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

Calon yang mencuri perhatian menerusi siri poster kempen kreatif dengan memperkenalkan dirinya sebagai peguam dan cucu kepada Allahyarham Wak Nin itu mengundi di Sekolah Menengah Arab Kota Tinggi, salah satu pusat mengundi bagi DUN Panti.

Alias yang merupakan anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain berharap, proses pengundian hari ini berjalan lancar selain turut menyeru agar pengundi segera melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Semoga pilihan yang dibuat hari ini membawa kebaikan kepada rakyat Panti dan negeri Johor,” katanya.

Alias berdepan cabaran besar apabila perlu menembusi kubu Barisan Nasional yang dimenangi Hahasrin Hashim dengan majoriti 5,854 undi pada PRN lalu.

DUN Panti kali ini menyaksikan saingan tiga penjuru termasuk calon Barisan Nasional, Dr Naqib Ghazali dan Pakatan Harapan, Ahmad Daniel Sharudin.

Dalam perkembangan berkaitan, Rasman pula kembali bertanding untuk merampas semula kerusi yang pernah diwakilinya tiga penggal berturut-turut sejak 2008 atas tiket UMNO sebelum menyertai Bersatu pada 2018.

Rasman menentang penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN), Muszaide Makmor selain calon Pakatan Harapan, Amirul Huzni Onn.

Must Watch Video

Advertisement