Skip to main content

Malaysia

Laluan, pergerakan di BSI dan KSAB lancar pagi ini - Saifuddin Nasution

[TB]_Saifuddin Nasution Ismail_BERNAMA
Laluan dan pergerakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), dua pintu masuk darat utama antara Malaysia dan Singapura, dilaporkan berjalan lancar pagi ini, kata Saifuddin Nasution. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Laluan dan pergerakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), dua pintu masuk darat utama antara Malaysia dan Singapura, dilaporkan berjalan lancar pagi ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkembangan itu adalah berdasarkan maklumat yang diterimanya daripada pasukan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

“Alhamdulillah, saya terima update daripada team AKPS, laluan dan pergerakan lancar di BSI dan KSAB pagi ini,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Beliau turut memuat naik video berdurasi 29 saat yang memaparkan keadaan di kedua-dua pintu masuk berkenaan berserta kapsyen “Good job team AKPS. Pagi ini laluan lancar di BSI dan KSAB”.

AKPS sebelum ini menggerakkan pengoperasian tahap maksimum di BSI dan KSAB bagi melancarkan kepulangan pengundi dari Singapura sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, termasuk membuka laluan khas serta mengaktifkan kaunter hibrid dan laluan kontra sekiranya berlaku kesesakan luar biasa.

Laluan khas berkenaan beroperasi selama 24 jam bermula dari 12.01 tengah malam hingga 6 petang hari ini.

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran dibuka serentak pada 8 pagi ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan peratusan keluar mengundi sekitar 70 peratus, dengan keputusan penuh dijangka diketahui seawal 10 malam ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement