KUALA LUMPUR: Persidangan tahunan UMNO yang menghimpunkan perwakilan Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri di seluruh negara akan berlangsung esok hingga 12 Julai ini.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata persidangan itu akan menjadi platform untuk memperkukuh saf perjuangan serta memperbaharu iltizam kepada parti, rakyat dan negara.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata persidangan kali ini berlangsung dalam suasana dunia semakin mencabar dengan tekanan ekonomi global, perubahan teknologi yang pantas serta pelbagai cabaran sosial, yang menuntut UMNO terus berfikir jauh ke hadapan dan menawarkan penyelesaian terbaik kepada rakyat.
“Pada usia 80 tahun, UMNO tidak boleh bergantung kepada sejarah perjuangannya semata-mata. Masa depan memerlukan keberanian untuk berubah, kebijaksanaan menyesuaikan diri serta kesungguhan untuk terus kekal relevan dalam memenuhi harapan rakyat.
“Justeru, saya berharap persidangan pada tahun ini menjadi medan untuk kita memperkukuh agenda Rumah Bangsa serta Musyawarah Nasional untuk kita menyatukan pemikiran, mengukuhkan institusi bangsa serta kerjasama yang lebih luas demi kepentingan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru seluruh perwakilan agar memanfaatkan persidangan tersebut dengan penuh hikmah, matang dalam menyampaikan pandangan serta sentiasa meletakkan kepentingan parti dan rakyat mengatasi segala-galanya.
“Insya-Allah UMNO akan terus menjadi wadah yang diyakini rakyat dan kekal memainkan peranan penting dalam perjalanan negara. Selamat bersidang kepada seluruh warga UMNO. Bersatu. Bersetia. Berkhidmat. Hidup UMNO,” katanya.
-- BERNAMA