PUTRAJAYA: Isu peletakan jawatan bekas Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan sekutunya, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
Sebaliknya, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu hanya dimaklumkan dari sudut persiapan Sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula pada 22 Jun depan susulan pengosongan kerusi kedua-dua mereka.
"Tidak. Cuma ada dimaklumkan mengenai persiapan Sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada 22 Jun, di mana dua orang bekas Ahli Parlimen mengosongkan kerusi mereka. Itu sahaja yang dimaklumkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, pada Rabu.
Pada Isnin lalu, Rafizi dan Nik Nazmi memaklumkan mereka secara rasmi sudah menghantar surat peletakan jawatan masing-masing sebagai Ahli Parlimen kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Dalam surat berkenaan, kedua-dua mereka menyatakan pengosongan kerusi itu dibuat secara sukarela bagi memenuhi keperluan Perlembagaan Persekutuan supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Terdahulu, ketika majlis pengumuman hala tuju politik pada Ahad, kedua-dua mereka mengumumkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (MUP).