Skip to main content

Politik

Masa depan parti kancil gelap, cerminan prestasi Rafizi sebagai Menteri Ekonomi - AMK

KUALA LUMPUR, 17 Mei -- Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menjadi ahli baharu Parti Bersama Malaysia (PBM) pada Perhimpunan Hala Tuju Politik di PJ Perfoming Art Center hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dzul Himli berkata, parti yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli itu dilihat lebih bersandarkan kepada retorik politik berbanding tawaran penyelesaian yang realistik kepada rakyat. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang menggunakan logo kancil disifatkan tidak mempunyai masa depan yang cerah sekiranya terus bergantung kepada pengaruh individu semata-mata tanpa menawarkan hala tuju yang jelas kepada rakyat.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Himli Zainol berkata, parti yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli itu dilihat lebih bersandarkan kepada retorik politik berbanding tawaran penyelesaian yang realistik kepada rakyat.

Menurutnya, rakyat kini sudah mampu menilai pendekatan politik Rafizi yang sering mengemukakan pelbagai formula dan kritikan ketika berada di luar kerajaan.

“Namun apabila diberikan peluang memegang kuasa dan mengurus ekonomi negara, ramai berpendapat prestasinya tidak setanding dengan harapan serta formula yang pernah dijanjikan.

“Politik bukan sekadar pandai mengkritik atau menghasilkan formula yang menarik. Politik juga menuntut kemampuan membuat keputusan, menyelesaikan masalah rakyat dan menunjukkan hasil yang boleh dirasai secara nyata,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dzul Himli berkata, rakyat telah melihat jurang yang ketara antara naratif yang dibawa Rafizi ketika menjadi pembangkang dan pencapaiannya semasa berada dalam kerajaan.

Justeru katanya, sekiranya Parti Bersama hanya bergantung kepada populariti individu, naratif lama serta rasa tidak puas hati terhadap parti asal tanpa dibarisi pasukan yang kukuh dan agenda yang jelas, parti itu berisiko menerima nasib sama seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“Sejarah politik Malaysia menunjukkan parti yang dibina atas pengaruh individu semata-mata sukar untuk bertahan apabila gagal meyakinkan rakyat bahawa mereka mempunyai agenda dan penyelesaian yang lebih baik.

“Saya percaya Rafizi tidak mampu membawa perubahan besar dalam landskap politik negara mahupun pentadbiran kerajaan kerana sikapnya yang sering merasakan dirinya sentiasa betul,” katanya.

Beliau turut mendakwa sikap sedemikian berpotensi menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli parti baharu yang diterajuinya.

Dalam pada itu, Dzul Himli berkata, rakyat akhirnya akan membuat penilaian berdasarkan rekod prestasi dan pencapaian sebenar, bukannya persepsi atau publisiti semata-mata.

“Jika rekod itu tidak meyakinkan, rakyat akan menolak perjuangan yang lebih berasaskan individu berbanding kepentingan rakyat.

“Saya tidak yakin parti yang mengangkat perjuangan individu akan mendapat sokongan pada PRU16. Saya melihat masa depan parti ini berisiko menerima nasib yang sama seperti Pejuang,” katanya. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement