Skip to main content

Politik

[KOLUMNIS] PRN Johor: PH perlu belajar menjadi kerajaan

GEORGE TOWN, 27 Okt -- BAHANG PRU... Pekerja DAP memasang bendera Pakatan Harapan (PH) di pekarangan Wisma DAP di Jalan Ranggon hari ini.  Parti-parti politik mula menghiaskan pejabat mereka dengan bendera parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada 19 Nov ini.  PH adalah parti gabungan DAP, Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding dalam PRU-15.  --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Naratif PH bukan lagi mengenai retorik perubahan. Sebuah kerajaan perlu mampu menjelaskan mengenai perubahan yang telah direalisasikan. Tanpa naratif tersebut ruang akan sentiasa diisi oleh persepsi negatif yang dibina pihak lawan. -Gambar fail

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN). 

Keputusan tersebut juga wajar dibaca sebagai isyarat politik yang perlu direnungi Pakatan Harapan (PH) sebagai tunjang kepada Kerajaan Perpaduan. PH harus memahami mesej yang dihantar oleh pengundi.

Realiti politik Malaysia pasca-PRU15 telah berubah sepenuhnya. PH tidak membentuk kerajaan melalui kemenangan mutlak. Sebaliknya ia berlaku menerusi kerjasama dengan parti lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan. Hakikat ini membawa implikasi besar terhadap cara PH harus berpolitik.

Sebagai parti pemerintah, ruang politik yang perlu diterokai PH adalah berbeza. Setiap dasar dan tindakan perlu mengambil kira kestabilan kerajaan, hubungan antara parti-parti komponen serta keyakinan rakyat. Ini menuntut kematangan yang berbeza ketimbang ketika menjadi pembangkang.

Pada PRU14, PH memperoleh kira-kira 803,000 undi di Johor. Jumlah itu merosot kepada sekitar 411,000 undi dalam PRN Johor 2022 berikutan kadar keluar mengundi yang rendah serta sifat pilihan raya negeri yang berbeza.

Namun beberapa bulan kemudian, PH kembali meraih lebih 816,000 undi dalam PRU15. Ini hampir menyamai prestasinya pada 2018.

Dalam PRN Johor kali ini PH memperoleh sekitar 612,000 undi. Ini bermakna gabungan tersebut masih mencatat pertambahan hampir 200,000 undi berbanding PRN 2022. 

Namun jika dibandingkan dengan PRU15, PH kehilangan kira-kira 200,000 undi. Data ini menunjukkan PH gagal mengekalkan sebahagian undi yang pernah diterima pada PRU15.

Apa jua penjelasannya, ia jelas menunjukkan momentum yang dibina selepas PRU15 gagal dikekalkan.Di sinilah terletaknya cabaran sebenar PH.

Setelah hampir empat tahun sebahagian penampilan politik PH masih dibayangi  pendekatan yang digunakan sebagai pembangkang. Naratif yang diketengahkan masih banyak bertumpu kepada kritikan dan mencipta persepsi, sedangkan rakyat kini menilai prestasi PH sebagai kerajaan.

Ketika menjadi pembangkang kekuatan sesebuah parti terletak pada kemampuan mengkritik dan menawarkan alternatif. Namun sebagai kerajaan kekuatan yang perlu dibina sudah berubah. 

Rakyat mahu melihat dasar yang berkesan serta berhasil mempengaruhi hidup mereka. 

Naratif PH bukan lagi mengenai retorik perubahan. Sebuah kerajaan perlu mampu menjelaskan mengenai perubahan yang telah direalisasikan. Tanpa naratif tersebut ruang akan sentiasa diisi oleh persepsi negatif yang dibina pihak lawan.

PRN Johor turut memperlihatkan satu lagi kelemahan yang masih membelenggu PH iaitu budaya bekerja secara berasingan dalam kalangan parti-parti komponennya.

PKR, DAP dan AMANAH sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri. Namun apabila berhadapan dengan pilihan raya, semua kekuatan itu perlu diterjemahkan kepada  strategi, naratif dan matlamat politik yang sama.

Pengundi tidak membezakan prestasi mengikut parti komponen. Mereka menilai PH sebagai satu jenama politik. Maka kegagalan satu komponen akan tetap memberi kesan kepada keseluruhan gabungan.

Atas sebab itu PH perlu membina budaya kerja berasaskan semangat gabungan. Jentera tidak seharusnya hanya bekerja mengikut parti masing-masing, kerana ia perlu bergerak sebagai satu organisasi yang berkongsi tanggungjawab dan matlamat yang sama.

Dalam masa yang sama, pergantungan yang terlalu besar kepada imej Perdana Menteri juga perlu dinilai semula. Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi aset politik paling bernilai kepada PH. Namun kekuatan sesebuah gabungan pemerintah tidak boleh bergantung kepada seorang tokoh semata-mata.

Semakin kuat pergantungan kepada seorang pemimpin, semakin tinggi juga risiko politik yang perlu ditanggung. Setiap kemenangan akan dikaitkan dengan beliau. Begitu juga dengan setiap kekalahan. Dalam jangka panjang keadaan ini tidak menguntungkan organisasi.

Seorang Perdana Menteri sewajarnya memberi tumpuan kepada urusan mentadbir negara, mengurus ekonomi, memperkukuh pelaburan serta memimpin Kerajaan Perpaduan. Beban politik pilihan raya pula perlu dipikul secara kolektif oleh seluruh kepimpinan parti.

Justeru PH perlu segera memperkukuh barisan kepimpinan lapisan kedua, kerana parti yang sihat tidak boleh hanya bergantung pada tokoh tertentu khususnya untuk bagi menjawab segala isu berbangkit.

Begitu juga dengan aspek yang tidak kurang penting ialah hubungan dengan pengundi muda. Pengundi berusia antara 18 hingga 35 tahun kini semakin penting untuk menentukan corak keputusan pilihan raya. 

Mereka tidak lagi boleh didekati melalui pendekatan simbolik atau program bermusim semata-mata.

Mereka mahu diyakinkan bahawa pandangan atau suara mereka benar-benar diambil kira dalam penyediaan dan perlaksanaan dasar. Apatah lagi jika ia membabitkan sesuatu yang mempengaruhi hidup mereka.

Justeru pemimpin muda PH perlu membina hubungan yang konsisten dengan kelompok ini, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya.

Akhirnya PRN Johor turut mengingatkan bahawa pilihan raya moden tidak lagi dimenangi melalui jumlah kehadiran ceramah.

Pilihan raya hari ini dimenangi oleh organisasi yang paling tersusun. Data pengundi, strategi komunikasi, operasi akar umbi, gerak kerja rumah ke rumah dan keupayaan menggerakkan pengundi keluar mengundi, adalah faktor penting yang tidak boleh diambil enteng.

Johor seharusnya menjadi medan muhasabah menjelang PRN Negeri Sembilan.

PH masih mempunyai kelebihan melalui rekod pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Datuk Seri Aminuddin Harun. Kejayaan dalam aspek pelaburan, pembangunan ekonomi, kebajikan rakyat dan kestabilan pentadbiran perlu dijadikan naratif utama.

Keseluruhan ekosistem kerajaan dan parti juga perlu bergerak dalam satu pasukan. Menteri, timbalan menteri, wakil rakyat, agensi kerajaan serta jentera parti mesti memahami bahawa pilihan raya memerlukan disiplin organisasi dan kejelasan keutamaan.

PRN Johor bukanlah penamat kepada PH. Namun ia merupakan satu peringatan bahawa landskap politik telah berubah.

Rakyat tidak lagi menilai PH sebagai pembangkang yang menjanjikan perubahan. Sebaliknya, mereka menilai PH sebagai kerajaan yang perlu bertanggungjawab merealisasikan perubahan tersebut.

Sebuah pembangkang boleh memenangi sokongan melalui janji dan kritikan. Tetapi sebuah kerajaan hanya akan terus mendapat mandat apabila mampu mentadbir dengan baik untuk meyakinkan rakyat bahawa negara berada di landasan yang betul. 

Sebuah pembangkang boleh memenangi sokongan melalui janji dan kritikan. Tetapi sebuah kerajaan hanya akan terus mendapat mandat apabila mampu mentadbir dengan baik, menyampaikan hasil kepada rakyat dan meyakinkan mereka bahawa negara berada di landasan yang betul.

Itulah cabaran sebenar PH hari ini.

Belajar menjadi kerajaan.


Penulis ialah Pensyarah sebuah universiti Awam di Sarawak.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

Must Watch Video

Advertisement