Skip to main content

Politik

Jangan tergesa-gesa buat keputusan jejas kestabilan negeri - Keadilan Melaka

JOHOR BAHRU, 17 Mei -- Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka mewakili Negeri Melaka, Adam Adli Abd Halim berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Adam Adli berkata parti itu menghormati pendirian yang dinyatakan oleh kelima-lima ADUN. - Foto BERNAMA

MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Melaka menyeru semua pihak agar tidak tergesa-gesa membuat keputusan yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri. 

Keadilan Melaka dalam kenyataan malam tadi turut menggesa supaya isu berkaitan Enakmen Perlembagaan Negeri (Melaka (Pindaan) 2026 mengenai pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara lantikan diselesaikan melalui semangat muafakat dan rundingan demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.

Menerusi kenyataan sama, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Melaka Adam Adli Abdul Halim berkata parti itu mengambil maklum pendirian lima ADUN Pakatan Harapan (PH) berhubung enakmen berkenaan dan keputusan mereka menarik diri daripada kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata berkata Keadilan Melaka kekal berpegang kepada prinsip bahawa kestabilan politik dan pentadbiran amat penting bagi menjamin kemajuan negeri, pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Pada masa sama, cadangan pelantikan ADUN lantikan perlu dinilai secara teliti berasaskan prinsip kebertanggungjawaban, integriti dan semangat demokrasi,” katanya.

Beliau berkata Keadilan Melaka turut menjunjung pendirian Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa setiap perbezaan pandangan hendaklah diselesaikan melalui semangat muafakat, rundingan yang berhemah dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Adam Adli berkata parti itu menghormati pendirian yang dinyatakan oleh kelima-lima ADUN namun keputusan menarik diri daripada kerajaan negeri bukan dipersetujui secara bersama di peringkat kepimpinan PH Melaka.

“Ruang perbincangan perlu terus dibuka supaya setiap keputusan dapat dicapai secara matang, bertanggungjawab dan demi kepentingan rakyat Melaka,” katanya.

Terdahulu, Anwar memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan parti itu untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

Ia susulan tindakan DAP Melaka semalam yang mengumumkan keluar daripada kerajaan negeri serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan ADUN secara lantikan.

Pengerusi DAP Melaka Khoo Poay Tiong berkata keputusan itu selaras dengan pendirian parti yang menolak rang undang-undang berkenaan kerana didakwa bercanggah dengan prinsip demokrasi dan pilihan raya. 

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement