KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menafikan dakwaan bahawa kedua-dua gabungan politik dari Borneo itu mengadakan pertemuan dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) seperti yang tular di media sosial.
Ketua Whip GPS yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika dihubungi berkata, GPS tidak pernah dihubungi atau menerima sebarang jemputan daripada mana-mana pihak berhubung pertemuan berkenaan.
“Ya, tiada,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali turut memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai pertemuan yang didakwa berlangsung hari ini.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu, keutamaan GRS ketika ini adalah memastikan segala usaha dan tumpuan diberikan kepada agenda pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Tiada maklumat berhubung pertemuan yang ditularkan dan tidak pernah ada perbincangan dalam kepimpinan GRS berkaitan sebarang jemputan atau perancangan pertemuan sedemikian.
“Tempoh kerajaan Persekutuan masih berbaki lebih setahun setengah dan negara juga sedang berdepan impak konflik geopolitik global,” jelasnya.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa GPS, GRS, BN dan PN dijangka mengadakan sidang media pada pukul 2 petang, namun sumber yang menyebarkan maklumat itu tidak menyatakan tujuan sidang media berkenaan diadakan.