Skip to main content

Politik

Empat ADUN DAP duduk di blok pembangkang, kedudukan Adly Zahari cetus tanda tanya

Sumber: Astro AWANI
Persidangan DUN Melaka hari ini menyaksikan perubahan ketara dalam susun atur tempat duduk apabila empat ADUN DAP secara rasmi mengambil tempat di blok pembangkang, sehari selepas Pakatan Harapan Melaka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

MELAKA: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini menyaksikan perubahan ketara dalam susun atur tempat duduk apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP secara rasmi mengambil tempat di blok pembangkang, sehari selepas Pakatan Harapan (PH) Melaka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.

Empat ADUN terbabit ialah ADUN Kesidang, ADUN Kota Laksamana, ADUN Bandar Hilir dan ADUN Ayer Keroh yang dilihat duduk bersama barisan pembangkang ketika persidangan berlangsung.

Bagaimanapun, situasi berbeza melibatkan ADUN Bukit Katil daripada Amanah yang juga bekas Ketua Menteri, Adly Zahari, apabila beliau dilihat kekal mengambil tempat di blok kerajaan.

Pemerhatian di dalam dewan mendapati Adly duduk di kedudukan paling hujung barisan blok ADUN kerajaan.

Menariknya, satu kerusi di sebelah beliau dibiarkan kosong, manakala di sebelah kerusi kosong itu pula bermulanya tempat duduk empat ADUN DAP yang berada di blok pembangkang.

Susunan tempat duduk itu sekali gus mengundang perhatian dan mencetuskan persoalan mengenai kedudukan politik Adly selepas PH Melaka semalam mengumumkan penarikan sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Sementara itu, Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum dalam ucapannya berharap agar kesemua ADUN dapat mengambil bahagian dalam persidangan hari ini dengan penuh disiplin, berhemah, bersopan dan mematuhi peraturan-peraturan dewan.

“…walaupun kedudukan sebahagian daripada ahli-ahli Dewan Undangan telah pun diubah,” katanya.

Semalam, PH Melaka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai bantahan terhadap kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 yang memperkenalkan pelantikan Adun lantikan.

Keputusan itu menyaksikan wakil PH membabitkan empat ADUN DAP dan seorang wakil Amanah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri termasuk jawatan Exco, Timbalan Exco, Timbalan Speaker serta lantikan berkaitan pentadbiran negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memohon DAP Melaka menangguhkan keputusan parti itu untuk keluar daripada pentadbiran kerajaan negeri Melaka bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

 

Must Watch Video

Advertisement