KOTA KINABALU: Seorang pemandu e-panggilan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membuat hantaran komunikasi palsu menerusi aplikasi TikTok pada April lepas.
Hakim Monica Linsua menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahuddin Gowana, 51, dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Shahuddin pada 14 April lepas menggunakan akaun TikTok @izzyderabbit telah memuat naik satu hantaran dengan kapsyen “isu DIESEL dihantar ke FILIPINA STOP JADIKAN MALAYSIA NEGARA BADUT”.
Berikutan hantaran itu, tertuduh didakwa secara sedar membuat penghantaran komunikasi berupa hantaran palsu dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana individu.
Hantaran berkenaan dikesan pada 8.57 pagi, 15 April lepas di Jabatan Moderasi Kandungan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Aras 8, MCMC Tower 1, Jalan IMPACT, Cyber 6, Cyberjaya, Selangor.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta sama, iaitu denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara hingga dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa MCMC, Nurnazhzilah Mohammad Hashim.
-- BERNAMA