MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan pindaan terhadap Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka bagi membolehkan pelantikan tidak melebihi tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Rang undang-undang berkenaan diluluskan selepas memperoleh sokongan 23 ADUN, manakala lima lagi tidak menyokong.
Terdahulu, usul bagi pindaan itu dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan disokong Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Ab Rauf berkata pindaan itu antaranya bagi memperkukuh representasi dalam DUN melibatkan individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dalam bidang tertentu seperti perundangan, ekonomi, pendidikan, pelaburan, teknologi dan pembangunan negeri untuk menyumbang secara langsung pada proses penggubalan dasar serta perbahasan.
“Kedua, memberikan ruang kepada kumpulan yang kurang diwakili. Pelantikan ini boleh meningkatkan penyertaan golongan wanita, belia, Orang Asli, komuniti minoriti, profesional, wakil sektor industri yang mungkin tidak berjaya melalui proses pilihan raya, tetapi mampu menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pindaan tersebut bagi meningkatkan kualiti perbahasan bagi tujuan semak dan imbang dengan ahli yang dilantik dapat memberikan pandangan yang lebih teknikal dan objektif terhadap rang undang-undang, dasar serta isu pentadbiran negeri.
Pindaan itu kemudian dibahaskan tiga ADUN, iaitu dua daripada kerajaan dan seorang pembangkang.
Ketua Pembangkang DUN Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub ketika membahaskan usul berkenaan berkata pembangkang menyokong usul itu kerana melihat perkara tersebut mempunyai nilai kepada pembangunan institusi DUN jika dilaksanakan dengan betul, mekanisme yang telus dan berteraskan kepentingan rakyat.
Mengambil contoh pelantikan Ahli Dewan Negara pada peringkat Persekutuan, beliau berkata individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan jasa kepada negara mampu menyumbang kepada proses penggubalan undang-undang.
Pindaan Perlembagaan Negeri Melaka untuk melantik ADUN lantikan adalah antara kandungan manifesto Barisan Nasional (BN) di bawah Teras 1: Kestabilan Politik (Membudayakan Politik Matang) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 2021.
Pada sidang media selepas itu, Ab Rauf berkata Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2026 itu bukan bertujuan mewujudkan jalan belakang bagi mendapatkan kuasa dan kedudukan politik.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa matlamat asal pindaan itu adalah untuk memperkukuh DUN Melaka sebagai sebuah institusi lebih inklusif, berpengetahuan dan berkeupayaan menangani cabaran pentadbiran moden yang semakin kompleks.
Bagaimanapun, Ab Rauf mengesahkan tiada ADUN lantikan akan dilantik dalam masa terdekat.
“Bila-bila boleh (lantik), tetapi kita dah masuk penghujung (tempoh tamat penggal DUN), buat apa kita nak lantik. Perkara ini bukan untuk kepentingan parti yang memerintah, tetapi akan memberikan (manfaat) kepada mana-mana pihak yang mungkin mentadbir negeri ini nanti,” katanya.
Penggal lima tahun DUN Melaka akan tamat pada Disember ini.
-- BERNAMA