Skip to main content

Malaysia

Umat Islam sambut 1 Muharam dengan mengimarahkan masjid dan surau

PUTRAJAYA, 16 Jun -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (dua, kanan) menghadiri Majlis Bacaan Doa Maal Hijrah di Masjid Putra, malam ini._BERNAMA
Zulkifli (dua, kanan) menghadiri Majlis Bacaan Doa Maal Hijrah di Masjid Putra, Putrajaya, malam tadi. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketibaan 1 Muharam disambut dengan penuh penghayatan dan keinsafan apabila umat Islam di seluruh negara malam tadi mengimarahkan masjid dan surau untuk bersama-sama mengikuti pelbagai pengisian rohani sempena Maal Hijrah 1448H/ 2026M.

Antara program yang diadakan ialah bacaan Yasin, doa akhir dan awal tahun Hijrah, solat berjemaah, tazkirah serta munajat yang disertai jemaah pelbagai peringkat usia, sekali gus menandakan bermulanya lembaran baharu dalam kalendar Islam.

Sambutan itu bukan sahaja memperingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW, malah menjadi medan muhasabah diri, memperteguh keimanan serta memperbaharui azam dalam usaha meningkatkan amal ibadah, di samping memohon keberkatan, petunjuk dan rahmat Allah SWT.

Di PUTRAJAYA, lebih 1,000 jemaah menyertai program Majlis Bacaan Doa Maal Hijrah dan Tausiyah Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H/2026M di Masjid Putra di sini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Program yang bermula sejak 4 petang itu diisi dengan aktiviti kerohanian serta ibadah termasuk tadabbur Al-Quran oleh pendakwah dan qari terkenal antaranya Ustaz Hassan Adli, Ustaz Tirmizi Ali dan Ustaz Aiman Ridhwan.

Sementara di MELAKA, sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M peringkat negeri itu berlangsung di Masjid Falihin Kampung Alai, Merlimau yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Pada majlis dihadiri lebih 500 tetamu itu, sebanyak 13 anugerah disampaikan kepada penerima antaranya Tokoh Maal Hijrah, Tokoh Perkhidmatan Awam, Tokoh Anugerah Penguatkuasaan dan Tokoh Keluarga Mithali.

Image
PUTRAJAYA, 16 Jun -- Umat Islam berdoa memohon rahmat dan perlindungan Allah SWT sempena kedatangan Tahun Baharu Islam 1448H/2026M, hari ini._BERNAMA
Umat Islam berdoa memohon rahmat dan perlindungan Allah SWT sempena kedatangan Tahun Baharu Islam 1448H/2026M di Putrajaya malam tadi. --fotoBERNAMA 

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1448 kepada bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin turut berkenan berangkat menghadiri Majlis Ambang Hijrah yang dimulakan dengan doa akhir tahun dipimpin Imam Abu Dzar Adanan serta doa awal tahun dipimpin oleh Imam Besar Datuk Muhammad Farhan Wijaya selepas solat maghrib berjemaah.

Baginda kemudian berkenan mendengar ceramah khas Maal Hijrah disampaikan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin sebelum menunaikan solat isyak berjemaah.

Image
SHAH ALAM, 16 Jun -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Bekas Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (tiga kanan) sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor Tahun 1448H/ 2026M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini._BERNAMA
Sultan Sharafuddin (dua, kiri) berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Abdul Aziz (tiga kanan) sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor Tahun 1448H/ 2026M di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, semalam. --fotoBERNAMA

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Kemuncak Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1448 Hijrah di Dewan Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini, diiringi Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada bekas Mufti Negeri Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh dan Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq kepada Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Baginda juga berkenan menyampaikan Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) kepada Pakar Pergigian Restoratif Dr Farah Syazwani Mohamd Tarmizi, Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia) Pegawai Pergigian Dr Muhamad Adib Mohamad Mazri, Anugerah Ikon Asnaf kepada Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan Khairruddin Mazli serta Anugerah Khas kepada Orang Asli Suku Temiar Othman Hamzah.

Image
IPOH, 16 Jun -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (kanan) berkenan menyampaikan Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq kepada Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid pada Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Perak di sebuah hotel hari ini._BERNAMA
Sultan Nazrin Shah (kanan) berkenan menyampaikan Anugerah Saidina Abu Bakar As-Siddiq kepada Mohd Azmi pada Sambutan Kemuncak Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Negeri Perak di Ipoh semalam. --fotoBERNAMA

 

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Masjid Tuanku Muhriz Bandar Seri Jempol.

Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dan kedua anakanda baginda Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin serta Tunku Zain Al-'Abidin. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut disertai lebih 1,000 jemaah.

Tuanku Muhriz bertitah setiap pemimpin hendaklah melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan sentiasa meletakkan kepentingan negeri serta rakyat mengatasi segala pertimbangan lain.

"Sikap dan tindakan yang tidak berhemah atau didorong oleh kepentingan sempit seperti perebutan kuasa sama sekali tidak mencerminkan ciri kepimpinan yang bertanggungjawab," titah baginda.

Image
JEMPOL, 16 Jun -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan bertitah pada Sambutan Maal Hijrah 1448H di Masjid Tuanku Muhriz Bandar Sri Jempol, hari ini._BERNAMA
Tuanku Muhriz berkenan bertitah pada Sambutan Maal Hijrah 1448H di Masjid Tuanku Muhriz Bandar Sri Jempol, Jempol, semalam. --fotoBERNAMA

Tuanku Muhriz bertitah hanya melalui pentadbiran berteraskan prinsip tata kelola yang baik, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan negeri dapat terus dipelihara demi diwariskan kepada generasi akan datang.

Justeru, titah baginda, semua pihak hendaklah sentiasa memelihara kestabilan dan keharmonian yang telah sekian lama menjadi kekuatan negeri ini, serta tidak membiarkan perebutan kuasa dan ketamakan mengganggu kedamaian serta ketenteraman yang dinikmati bersama.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1448H/2026M berlangsung esok di Masjid Putra, Putrajaya dan Sultan Nazrin dijadual berangkat menyempurnakan majlis tersebut.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement