TAWAU: Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin, 53 tahun, meninggal dunia pada jam 2.04 pagi tadi ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Tawau.
Pemergian Allahyarham dimaklumkan menerusi kenyataan di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Menurut kenyataan itu, urusan pengurusan jenazah akan dilaksanakan di Hospital Tawau sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 16, Jalan Apas.
Jenazah Allahyarham dijangka dibawa untuk disolatkan di Masjid As-Salam IPD Tawau sekitar 8.30 pagi sejurus selepas selesai proses pengurusan jenazah.
Jenazah kemudiannya akan dibawa ke kediaman keluarga di Kampung Sungai Gading, Batu 17, Jalan Apas, Wakuba.
Dimaklumkan bahawa, waris Allahyarham akan menunggu anaknya yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Tawau pada jam 12.30 tengah hari.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya warga IPD Tawau yang pernah berkhidmat bersama beliau.
Orang ramai turut diajak mendoakan agar Allah mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam orang anak.