KOTA BHARU: Kegiatan tujuh wanita warga asing yang dipercayai menyalahgunakan pas dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) terbongkar selepas mereka dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menerusi Ops Gegar di sekitar bandar ini pada Khamis.
Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong John Siki berkata, kesemua individu yang ditahan itu masing-masing berusia antara 20 hingga 40 tahun.
"Kesemua mereka dipercayai menyalahgunakan pas dengan bekerja sebagai GRO," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Menurut beliau, daripada jumlah itu enam daripada wanita yang ditahan merupakan warganegara Thailand manakala seorang lagi warga Laos.
Ujarnya, pada masa sama tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar turut ditahan.
Garry memberitahu, sepanjang operasi dijalankan, seramai 53 individu terdiri daripada warga asing dan tempatan telah diperiksa.
Kata beliau, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Kompleks Imigresen Kelantan untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - Sinar Harian