KUALA LUMPUR: Program Truck Fighter & Meet Show 2.0 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang mendapat sambutan luar biasa apabila jumlah pengunjung melebihi 3,000 orang setakat tengah hari Sabtu.
Penganjur, Zaki GM Garage Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata angka itu dijangka terus meningkat dengan sasaran keseluruhan seramai 5,000 pengunjung sehingga program berakhir lewat malam ini.
Menurut kenyataan berkenaan, kehadiran yang memberangsangkan itu membuktikan minat dan sokongan tinggi masyarakat terhadap pelbagai aktiviti serta pengisian yang disediakan sepanjang penganjuran acara tersebut.
“Pelbagai acara menarik masih diteruskan bagi memenuhi cita rasa pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk peminat kenderaan pacuan empat roda (4WD), pemain industri automotif serta komuniti sukarelawan.
“Orang ramai yang masih belum berkesempatan hadir dialu-alukan untuk memeriahkan acara ini dan menikmati pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh pihak penganjur,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, Program Truck Fighter & Meet Show 2.0 dijangka menghimpunkan lebih 2,000 pemilik kenderaan 4WD dari seluruh negara dengan anggaran kehadiran sekitar 5,000 pengunjung.
Penganjur berkata program itu bertujuan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti pemilik 4WD yang sering memainkan peranan sebagai sukarelawan barisan hadapan ketika berlakunya bencana alam, khususnya dalam operasi menyelamat dan bantuan banjir.
Selain itu, acara berkenaan turut menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperluas jaringan kerjasama antara pengusaha bengkel 4WD di Selangor dan negeri-negeri lain, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan industri automotif tempatan.
Kemuncak acara menyaksikan Azhar Ahmad, ahli Kelab Hulu Selangor Diesel Member (HSDM), muncul sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah yang menjadi antara tarikan utama program pada tahun ini.
Program itu merupakan kesinambungan daripada kejayaan edisi sulung yang diadakan di pekarangan Stadium Shah Alam pada Mei tahun lalu.
Lebih istimewa, penganjuran kali ini turut melibatkan penyertaan beberapa pertubuhan komuniti 4WD dari Thailand dan Singapura, sekali gus menjadikannya medan pertemuan komuniti serantau di samping mempromosikan industri automotif negara.
Sepanjang acara berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk pameran kenderaan 4WD, pertandingan autoshow membabitkan 21 kategori, aktiviti off-road, gerai jualan, pameran industri serta cabutan bertuah.