Skip to main content

Malaysia

Tony Pua beri keterangan hampir 40 minit berhubung hantaran Rukun Negara

KUALA LUMPUR, 5 Feb -- Bekas Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kenyataan beliau yang didakwa menghina institusi diraja.  --fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua memaklumkan beliau telah memberi keterangan kepada polis pada petang Khamis berhubung hantaran berkaitan Rukun Negara yang dimuat naik di Facebook miliknya. - Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua memaklumkan beliau telah memberi keterangan kepada polis pada petang Khamis berhubung hantaran berkaitan Rukun Negara yang dimuat naik di Facebook miliknya.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, jelasnya, beliau menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 1.30 petang untuk mengatur rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

“Saya menawarkan untuk hadir ke IPD Shah Alam pagi esok, namun pegawai penyiasat memaklumkan beliau menerima arahan supaya rakaman percakapan dibuat hari ini juga,” katanya.

Beliau berkata, temu janji kemudian diatur di Petaling Jaya sekitar jam 4 petang dan proses rakaman percakapan berlangsung kira-kira 40 minit.

Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tony Pua turut memaklumkan beliau memberikan kerjasama penuh sepanjang proses tersebut dan menyifatkan dua pegawai IPD Shah Alam yang mengendalikan rakaman percakapan itu sebagai profesional.

Dalam kenyataan sama, beliau mendakwa dimaklumkan bahawa siasatan dimulakan selepas lebih 80 laporan polis diterima dari seluruh negara, dengan laporan pertama dibuat di Sri Muda, Shah Alam.

Katanya, kebanyakan laporan polis yang diterima mempunyai kandungan hampir sama.

Menurut Tony Pua lagi, beliau turut mengesahkan kepada pihak polis bahawa hantaran Facebook berkenaan ditulis sendiri tanpa pengaruh atau paksaan mana-mana pihak.

“Apabila ditanya mengenai niat hantaran itu dibuat, saya menjawab bahawa ia adalah untuk berkongsi pandangan saya mengenai Rukun Negara,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata masih belum mengetahui sama ada pihak berkuasa akan mengambil tindakan lanjut berhubung siasatan tersebut.

Must Watch Video

Advertisement