Skip to main content

Malaysia

TH kekal sistem giliran, tiada tawaran haji khas ikut kategori

KUALA LUMPUR, 8 Julai -- Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Marhamah Rosli berucap pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Majlis Parlimen Kelima Belas di Bangunan Parlimen hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menjawab satu soalan tambahan, Marhamah berkata Malaysia diperuntukkan kuota rasmi 31,600 jemaah bagi musim haji tahun ini, manakala sebarang kuota tambahan adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengekalkan sistem tawaran haji berasaskan prinsip “daftar dahulu, didahulukan” dan tidak melaksanakan tawaran khas mengikut kategori tertentu bagi memastikan semua pendeposit menerima peluang yang adil dan saksama selaras dengan kuota yang diperuntukkan Kerajaan Arab Saudi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata sebarang pengenalan kategori tawaran haji khas berpotensi menjejaskan sistem giliran sedia ada serta memberi kesan kepada pendeposit yang telah lama menunggu giliran menunaikan ibadah haji.

“Pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan dalam pengurusan giliran haji yang diamalkan oleh TH sejak sekian lama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mewujudkan pakej Haji Khas untuk pesara wajib yang menerima bayaran gratuiti memandangkan mereka telah mempunyai kemampuan kewangan, namun terpaksa menunggu lama.

Dalam pada itu, Marhamah berkata setiap pendeposit akan dimaklumkan tentang tahun giliran masing-masing dan digalakkan membuat persediaan awal dari segi kewangan, kesihatan serta ilmu berkaitan ibadah haji.

Bermula musim haji tahun ini, Marhamah berkata TH menetapkan syarat simpanan minimum RM15,000 sebelum surat tawaran haji dikeluarkan kepada bakal jemaah dalam giliran, walaupun kos sebenar menunaikan haji ialah RM33,300.

Pendeposit yang tidak berada dalam giliran haji pada tahun semasa pula masih boleh mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan berdasarkan merit, syarat dan keutamaan ditetapkan.

“Keutamaan rayuan diberikan kepada mahram melibatkan suami atau isteri kepada jemaah yang terpilih, pengiring kepada bakal haji berusia 75 tahun ke atas serta pengiring kepada orang kurang upaya yang telah terpilih,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff mengenai usaha mendapatkan kuota tambahan, Marhamah berkata Malaysia diperuntukkan kuota rasmi 31,600 jemaah bagi musim haji tahun ini, manakala sebarang kuota tambahan adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi.

“Walau bagaimanapun, TH akan terus membuat permohonan pertambahan kuota pada setiap tahun demi memenuhi permintaan rakyat Malaysia,” katanya.

Mengenai isu penipuan pakej haji, beliau berkata tiada kes penipuan pakej haji dilaporkan kepada pasukan petugas yang dianggotai TH, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi musim haji 1447 Hijrah.

Beliau berkata kejayaan itu hasil tindakan penguatkuasaan dan kempen kesedaran ‘Tiada Visa, Tiada Haji’ selaras dengan dasar ‘No Hajj Without Permit’ yang dikuatkuasakan Kerajaan Arab Saudi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement