Skip to main content

Malaysia

Team KL Wellness City sertai triathlon terkenal dunia - Challenge Roth, Kejohanan Dunia HYROX

KUALA LUMPUR, 10 Jun -- Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol (empat, kanan) bergambar bersama atlet negara yang menyertai Kejohanan Dunia HYROX pada Majlis Pelepasan Atlet Pasukan Malaysia ke Kejohanan Dunia HYROX di Stockholm, Sweden serta Triatlon Challenge Roth di Jerman, hari ini.Turut sama, Pengarah Eksekutif, Penjenamaan, Jualan dan Pemasaran KL Wellness City Datuk Seri Dr Vincent Tiew (lima, kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mordi Bimol (empat dari kanan) bergambar bersama peserta-peserta Malaysia yang bakal bersaing dengan atlet endurance terbaik antarabangsa pada Kejohanan Dunia HYROX di Sweden dan triatlon Challenge Roth di Jerman tidak lama lagi dalam satu acara di Kuala Lumpur, pada Rabu. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sekumpulan peserta dari Malaysia bakal bersaing dengan atlet endurance terbaik antarabangsa pada Kejohanan Dunia HYROX di Sweden dan triatlon Challenge Roth di Jerman tidak lama lagi.

Kontinjen Malaysia turut dibarisi beberapa atlet berumur 60 tahun ke atas, diketuai wakil paling berusia Tan Ay Bing, 69, yang akan menyertai Kejohanan Dunia HYROX di Strawberry Arena, Stockholm dari 18 hingga 21 Jun, sekali gus membuktikan usia bukan penghalang untuk bersaing.

Peserta HYROX Malaysia yang lain ialah Terence Poon Chau Chun, 64, Lee Ho Kiat, 36, Kyle See dan Mandy Chai, masing-masing berusia 25 tahun, serta Dr Yeap Jing Eng, 65, bersama dua adiknya, Yeap Jing Ching, 62, dan Yeap Jing Nee, 59.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif KL Wellness City (KLWC), Datuk Seri Dr Vincent Tiew, 50, dan Ng Choon Keith, 42, akan beraksi pada Challenge Roth di Bavaria, 5 Julai ini yang dianggap sebagai antara kejohanan triatlon jarak jauh paling berprestij di dunia.

Kesemua 10 atlet yang mewakili Team KLWC telah diraikan dalam satu majlis pelepasan, di sini, pada Rabu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol.

Vincent berkata, majoriti peserta berusia lebih 50 tahun, yang mempunyai tahap komitmen, disiplin dan ketabahan yang tinggi seperti diperlukan dalam sukan endurance.

“Dalam saya membuat persiapan untuk Challenge Roth, Challenge Malaysia dan Ironman Langkawi pada tahun ini, saya turut terinspirasi dengan dedikasi yang ditunjukkan rakan-rakan atlet yang telah meraih peluang untuk mewakili Malaysia di pentas dunia. Kami berbangga untuk menyokong mereka dalam perjalanan ini.

“Kami mengucapkan selamat berjaya kepada Team KLWC di Stockholm dan Roth, dan kami berharap mereka dapat terus memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan aktif. 

"Saya juga berharap untuk melengkapkan triatlon jarak jauh penuh ke-20 saya, sama ada Ironman atau Challenge,” katanya.

Sementara itu, Mordi berkata, penyertaan atlet berkenaan membuktikan budaya berkaitan kesihatan, kecergasan dan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia semakin berkembang.

“Amat menginspirasikan apabila melihat atlet Malaysia melangkah ke pentas dunia dengan penuh keazaman dan semangat. Komitmen mereka terhadap kecemerlangan mencerminkan semangat Malaysia MADANI, yang mana daya tahan, disiplin dan perpaduan memacu kemajuan kita.

“Saya memuji KLWC atas peranannya dalam memupuk ekosistem kesihatan dan sukan yang kukuh, yang menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat. Kami mendoakan kejayaan semua atlet kita yang bakal mengibarkan bendera negara dengan penuh bangga di Stockholm dan Roth,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Kejohanan Dunia HYROX merupakan penutup musim yang menghimpunkan 0.5 peratus atlet HYROX terbaik dari seluruh dunia.

Pertandingan ini menggabungkan lapan larian sejauh satu kilometer dengan lapan stesen kecergasan functional, termasuk SkiErg, tolak kereta luncur, tarik kereta luncur, burpee broad jumps, mendayung, farmers carry, sandbag lunges dan wall balls. Atlet bertanding dalam kategori Single, Doubles dan Relay, dengan hadiah wang tunai ditawarkan melebihi AS$300,000.

Acara Challenge Roth merangkumi renangan sejauh 3.8 kilometer, kayuhan basikal sejauh 180 kilometer dan maraton sejauh 42.2 kilometer, yang menarik penyertaan atlet triatlon elit serta peserta amatur dari seluruh dunia. Berlangsung dalam suasana yang meriah dan bertenaga, acara itu menarik ratusan ribu penonton setiap tahun.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement