KUALA LUMPUR: Agensi kerajaan, perusahaan dan institusi di Malaysia dipelawa menyertai Kempen Cadangan Global Go Healthy with Taiwan 2026, satu inisiatif yang bertujuan memperkukuh kerjasama antarabangsa serta mempercepat peluasan industri kesihatan dan kesejahteraan global.
Kempen yang dianjurkan oleh Pentadbiran Perdagangan Antarabangsa Taiwan (TITA) di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dengan kerjasama Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Taiwan (TAITRA) itu bertujuan mengintegrasikan kekuatan negara berkenaan dalam penjagaan kesihatan pintar, teknologi sukan dan basikal berteknologi tinggi.
TAITRA dalam kenyataan memaklumkan di bawah tema Designing Healthier Futures Together, inisiatif itu menggalakkan peserta global mengemukakan cadangan aplikasi inovatif bagi menghasilkan penyelesaian kesihatan yang boleh dilaksanakan di peringkat antarabangsa serta bersama-sama mewujudkan paradigma baharu untuk masa depan yang lebih sihat.
Ketua Pengarah TITA William Liu ketika berucap pada pelancaran kempen itu pada 27 Mei berkata inisiatif berkenaan dilancarkan bagi meneruskan usaha mempromosikan imej Taiwan sebagai kuasa industri kesihatan yang inovatif dan dinamik, sambil menyatakan Healthy Taiwan adalah antara visi dasar utama kerajaan.
“Menerusi kempen yang dipertingkat secara menyeluruh, inisiatif ini bertujuan menjana kesan demonstratif dan pengganda, sekali gus meletakkan Taiwan sebagai rakan global pilihan utama bagi penyelesaian kesihatan,” katanya.
Beliau berkata tiga pasukan terbaik daripada kempen 2025 akan dijemput berkongsi pengalaman kerjasama mereka pada Ekspo Taiwan di Poland pada Jun ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TAITRA Simon Wang berkata kempen tahun ini akan digandingkan dengan siri pameran perdagangan antarabangsa dan acara padanan perniagaan bagi membawa kekuatan inovasi Taiwan ke pentas dunia secara sistematik.
Wang berkata inisiatif itu akan membantu perusahaan termasuk dari Malaysia untuk membina hubungan lebih mendalam dengan pembeli global, pelabur dan pasukan syarikat pemula niaga, selain mewujudkan pesanan antarabangsa yang nyata serta perkongsian jangka panjang.
Acara itu dihadiri hampir 100 tetamu kenamaan termasuk wakil daripada Persatuan Basikal Taiwan, Persatuan Pengeluar Barangan Sukan Taiwan dan Persatuan Industri Perubatan dan Bioteknologi Taiwan, selain perwakilan asing yang bertugas di Taiwan.
Berdasarkan kejayaan kempen pertama pada 2025 yang menarik 638 cadangan daripada 55 negara, edisi 2026 menyasarkan peluasan lebih besar dengan sasaran menarik lebih 800 cadangan dari lima benua.
Acara pelancaran itu turut menampilkan zon pameran Health AI Hub yang mengetengahkan inovasi dalam teknologi berbasikal, kecergasan dan sukan serta penjagaan kesihatan pintar.
Zon itu menghimpunkan syarikat Taiwan termasuk Acer Gadget, Tokuyo, Makalot, Newtown, Gee Hoo, Ideas Lab, AKIMIA dan Vast bagi mempamerkan aplikasi berpandangan jauh merangkumi mobiliti rendah karbon hingga penjagaan kesihatan tepat dan pengurusan penuaan sihat.
“Pameran itu secara kolektif mengetengahkan kekuatan Taiwan dalam mengintegrasikan inovasi teknologi dengan kelestarian, sekali gus memberikan gambaran mengenai generasi baharu gaya hidup sihat,” menurut kenyataan itu.
Permohonan bagi Kempen Cadangan Global Go Healthy with Taiwan 2026 dibuka sehingga 5 Ogos dan tiga pasukan terbaik masing-masing akan menerima USD30,000 bagi menyokong inisiatif yang memajukan kesihatan dan kesejahteraan global.
Maklumat lanjut mengenai kempen dan syarikat yang mengambil bahagian boleh didapati di laman sesawang rasmi https://gohealthy.taiwanexcellence.org/.
-- BERNAMA