Skip to main content

Malaysia

Syed Saddiq, Bella Astillah dapat restu, perancangan nikah diteruskan

Putrajaya , 13 Julai 2026. Reaksi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan keluarga selepas meninggalkan kamar Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman selepas dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan serta denda RM10 juta selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan berhubung kes dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Syed Saddiq bersama keluarganya dan Bella di Istana Kehakiman di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI/ Shahir Omar

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dibebaskan sepenuhnya Mahkamah Persekutuan daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, sudah mendapat restu ibu bapa untuk meneruskan perancangan berkahwin dengan tunangnya, Bella Astillah.

Syed Saddiq berkata, ibu bapanya sudah memberi isyarat positif agar beliau dan Bella bernikah, sebaik prosiding Mahkamah Persekutuan, berakhir.

"Tadi, selepas saya selesai melakukan sujud syukur, ayah dan ibu sudah memberi isyarat positif supaya kami dapat meneruskan perancangan perkahwinan.

"Cuma untuk komen lanjut, mungkin boleh tanya Bella," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Istana Kehakiman di sini, sebaik prosiding keputusan rayuan pendakwan terhadap pembebasannya di Mahkamah Persekutuan berakhir, hari ini.

Syed Saddiq berterima kasih kepada Bella kerana setia bersama sejak dirinya berstatus pesalah sehingga akhirnya dibebaskan.

Tambahnya, sokongan Bella amat bermakna kerana tunangnya itu memilih untuk terus bersamanya sepanjang masa.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tunang saya yang tetap setia bersama.

"Bukan mudah kerana sebelum ini saya pesalah. Orang ramai mungkin terlupa, tetapi, sebelum keputusan di Mahkamah Persekutuan Rayuan, hari ini, saya masih berstatus pesalah.

"Namun, dia (Bella) tetap bersama saya. Alhamdulillah, hari ini saya tidak lagi perlu berjalan dengan beban itu. Saya amat hargai segala pengorbanannya," katanya.

Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dalam sebuah majlis penuh sederhana yang dihadiri sahabat baik dan keluarga terdekat.

Must Watch Video

Advertisement